Saturday, January 30, 2021

Apakah kesudahannya...

LUBOK JONG – Sukar untuk digambarkan akan kehidupan yang mendatang. Tiada siapa yang menyangka dunia hari ini berubah sama sekali. Perubahan drastik. Manusia sedang menanti-nanti apakah yang akan terjadi pada keesokkannya. Tidak terduga. Bencana alam di awal 2021 telah banyak berlaku di seluruh dunia. Letusan Gunung Merapi di Pulau Jawa mencetus suasana yang menakutkan takkala Merapi sering dikaitkan dengan ‘kemarahan alam’. Saya pernah sampai di kaki Merapi pada tahun 2015 dan melihat kemusnahan dashyat yang berlaku pada Oktober 2010.

Pandemik yang menghantui dunia sejak Mac 2020 seakan-akan tidak menampakkan kesudahannya. Kes-kes positif semakin bertambah. Sehingga ke hari ini kes dunia mencecah 101 juta orang. Apakah ini suatu ‘order baru’ yang mampu mengurangkan populasi dunia? Apapun pendapat setiap orang, penduduk dunia sekarang seoerti berada di dalam filem ‘zombie’ yang suatu ketika dahulu menjadi ‘trending’ di pawagam-pawagam. Sangat menakutkan kerana kita pun mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti, hanya pada Allah swt sahaja kita berserah.

Kehidupan harian semakin mencengkam. Bak kata pepatah ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, bagi yang merasaikannya. Apapun bagi manusia yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka pepatah itu suatu yang mustahil kerana mereka masih mempunyai talian hayat untuk terus hidup..tetapi..sampai bila? Hari-hari mendatang pastinya sukar. Hanya mampu bertahan sebelum nyawa dicabut oleh Allah swt. Maka takkala itu berakhirlah sudah hubungan manusia dengan alam fana ini.

Jauh disudut hati ku tersimpan sesuatu yang sukar untuk ku luahkan. Alhamdulillah makan pakai keluarga masih lagi mampu aku sediakan. Bagaimana orang-ornag di luar sana? Terdetik suatu keinsafan akan kekhilafan diri semoga Allah swt sentiasa memberi rasa bersyukur dengan apa yang ada. Dunia semakin hari semakin rumit. Nyawa manusia hilang berganti disebabkan oleh penyakit dan bencana alam. Muncul pula nyawa-nyawa baru melalui suatu kelahiran yang akan meneruskan kesinambungan hidup yang tidak pasti lagi akan keberuntunganya. Apapun setiap nyawa yang dilahirkan pastinya akan disediakan rezeki oleh Allah swt. Itu janji Allah.

Sejauh mana kehebatan manusia lagi. Dengan sekelip mata pendemik Covid19 telah mengorbankan hampir 2,218,394 juta orang di seluruh dunia. Sesuatu yang amat mengerikan. Mana perginya kehebatan manusia yang selalu dibangga-banggakan untuk menghapuskan sekecil-kecil virus. Ternyata manusia tidak mempunyai daya untuk melawannya. Sebenarnya ia telah merubah tamadun kehidupan manusia yang selama ini bersenang-lenang menikmati kehidupan. Kini semuanya telah terbatas. Kematian ummat manusia yang bukan disebabkan oleh peperangan atau bencana alam. Tidak terbayang di akal fikiran manusia yang waras akan semua yang sedang berlaku ini. Pastinya ada sebab musabab mengapa ia terjadi. Pasti..pasti ada.

Indahnya menikmati matahari terbit dari sebelah timur dan begitu asyiknya melihat matahari terbenam ke barat. Itu dulu. Sekarang tidak lagi. Keindahan itu tidak lagi boleh dinikmati dengan aman kerana pergerakan manusia telah dibataskan. Pemandangan itu hanya boleh dinikmati di dalam rumah melalui youtube. Sungguh aneh dunia pada hari ini. Komputer telah menguasai manusia. Apa sahaja bergantung harap kepada komputer dan internet. Bayangkan suatu hari alam semesta tidak lagi dapat dihubungkan melalui internet. Suatu lagi bala betapa ummat manusia yang akan kita lalui. Subhanallah semoga sedikit luahan perasaan ini boleh dijadikan ikhtibar buat kita insan yang daif di mata Allah swt.


Kenangan buat adik tersayang

 LUBOK JONG – Lama tidak menulis. Kali terakhir artikel saya ketika Perintah Kawalan Pergerakan bermula sekitar bulan Mac 2020. Tahun milinium yang penuh kenangan buat saya dan keluarga. Adik kesayangan kami Mohd Izzat telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 10 November 2020. Suatu kehilangan yang sangat dirindukan.


Apakan daya Allah swt lebih menyayangi arwah. Sehari sebelum pemergian, arwah menghubungi seorang abang di Pulau Pinang. Mereka berdua lama bersembang seolah-olah lama benar ingin berpisah. Arwah juga selalu menyebut akan soal kematian. Sayu pilu aku mendengar cerita seorang lagi adik yang dihubungi arwah sehari sebelum pemergiannya seolah-olah tahu arwah akan meninggalkan kita semua.

Sejak pemergian arwah aku tidak pernah buka ‘fecebook’ arwah. Mata ini belum mampu lagi untuk melihat wajah-wajah arwah di mukabuku. Suatu perasaan yang teramat dalam masih belum dapat aku padamkan apatah lagi aku menguruskan jenazah arwah. Begitulah episod akhir kehidupan. Dunia tempat persinggahan dan akhirat tempat kekal. Hasrat arwah untuk bertemu arwah ayah dan ma akhirnya telah tercapai. Arwah tenang di sana bersama-sama kedua-dua arwah ayah dan ma. Cepat masa berlalu. Allah swt telah mengaturkan segala-galanya tanpa sedikit pun terlewat atau cepat dari apa yang diaturkannya.

Arwah mula mengikut kumpulan dakwah sejak beberapa tahun yang lalu. Sejak kedua-dua arwah ayah dan ma, arwahlah yang tinggal di rumah pusaka. Aku pun jarang balik ke rumah arwah. Sedih rasanya tidak dapat memeluk arwah ketika masih hidup. Aku memeluk arwah setelah arwah tidak lagi bernafas terbujur kaku dan ketika kain kafan mula ditutup..aku mencium arwah..Ya Allah..sebak rasanya dada aku, namun begitu menurut cakap-cakap kenalan, arwah seorang yang baik hati dan suka menolong jemaah ketika mereka bersama-sama. Terdetik di hati ini untuk mengetahui pengalaman arwah ketika bersama-sama jemaah.

Beberapa hari selepas pemergian arwah, aku mencari kenalan-kenalan arwah. Ada juga kenalan arwah yang pernha datang ke rumah bersama-sama arwah. Banyak peninggalan arwah diinfakkan kepada kenalan-kenalan arwah. Itu adalah di atas permintaan arwah sendiri. Ya Allah..lemah-longlai jari-jemari aku untuk menulis..(Al-Fatihah). Arwah adik bongsu dari 12 beradik. Tiada lagi gelak-tawa arwah dapat aku lihat. Tiada lagi kelibat arwah datang ke rumah. Yang ada hanyalah kenangan yang mampu mengubat hati yang lara. Andainya arwah ada..aku nak peluk arwah sekuat-kuat sepuas-puasnya...

Tenanglah wahai adikku di sana. Pemergianmu banyak menyedarkan aku. Kehidupan sederhana sebagai jemaah dakwah adalah suatu kehidupan sebenar. Aku hidup hampir setengah abad. Belum pernah lagi mendekatkan diri dengan kerja-kerja dakwah tetapi arwah telah lama menjalani kehidupan bersama-sama kumpulan dakwah. Subhanallah. Manis sekali kehidupan sederhana bersama-sama golongan yang meneruskan kerja-kerja dakwah yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Itulah bekalan yang bakal menjaga kita di dalam kubur yang gelap gelita.

Izzat..abang din sayang Izzat. Tariklah abang din bersama-sama Izzat ke dalam syurga nanti. Kita bersama-sama arwah ayah, ma dan keluarga yang lain. Aku tidak berfikir panjang untuk turut serta dengan jemaah yang pernah mengenali arwah. Abang din telah tunaikan segala hasrat Izzat untuk menginfakkan segala peninggalan kepada kenalan dan jemaah yang pernah diikutinya. Insya Allah..abang din sedang membantu membangunkan sebuah maahad tahfiz di satu lokasi yang sangat aman damai. Mudah-mudahan Allah swt menerima usaha abang din ini sebagai sedekah untuk arwah ayah, ma dan izzat.