Thursday, July 29, 2021

Lahir 100 tahun yang lalu, kisah kehidupan.

KG KELAWAR - Berusia 100 tahun, tubuh badan sihat dan masih boleh membaca ayat-ayat suci Al-Quran tanpa menggunakan cermin mata. Subhanallah..nikmat dari Allah swt yang sangat bermakna. Itulah kelebihan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada seorang hambaNya yang berrnama Tijah Bt Latif yang tinggal di hujung kampung di daerah Pasir Mas, Kelantan. 

Gambar: Tijah Bt Latif berusia 100 tahun duduk dihadapan pintu rumahnya sambil bercerita tentang kehidupan sebelum dan selepas kemerdekaan. Kredit gambar oleh Mr Kopikarat.

Jujur saya katakan pertama kali bercakap dengan nenek Tijah saya sama sekali tidak menyangka umurnya seusia itu. Jujur..melihat dari raut wajah, cara bercakapnya saya menjangkakan umurnya sekitar 60-an ke 70-an. Bak kata pepatah "hanya jauhari mengenal manikam". Anak-anak dan cucu-cucunya cukup mengenalinya. Saya orang luar hanya mengenali nenek Tijah ketika bertemunya dan ternyata sekali pertemuan itu seperti sudah lama kenal. Perbualan nenek Tijah sama sekali tidak menggambarkan usianya yang sudah sampai satu abad. 

Ketika Jepun mendarat di Tanah Melayu, umur nenek Tijah 20 tahun. Masih remaja pada ketika itu. Jepun mula-mula sekali mendarat di Pantai Pak Amat, Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Maka berlaku pertempuran hebat antara tentera British dan tentera Jepun selepas sejam pelabuhan Peral Habour dibom. Pertempuran itu merupakan detik rasmi permulaan Perang Pasifik serta merupakan permulaan pendaratan Jepun di Tanah Melayu. Dari situ tentera Jepun mula menyerang tentera British sehingga British berundur. Mereka bergerak lagi dan menawan lapangan terbang Kota Bharu, bergerak lagi menawan Singapura, Hong Kong dan Pearl Habour.

Kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu khususnya ke Kelantan menimbulkan kegusaran juga di hati nenek Tijah. Beliau tinggal di kampong berdekatan sempadan Malaysia-Thailand. Katanya beliau tidak berapa ingat akan kedatangan Jepun ke Kelantan tetapi ingat ada sekumpulan askar Punjabi bersama-sama ketua mereka masuk ke dalam kampong. Kehadiran askar-askar Punjabi tidak mengganggunya dan keluarga pada ketika itu. Kehidupan pada ketika itu seperti biasa.

Kehidupan di kampong pada ketika itu susah. Dia menanam padi. Hasil tanaman untuk keluarga dan disimpan di dalam bangsal kecil yang dikenali sebagai 'baloh'. Saya intai juga kalau-kalau masih ada baloh tetapi katanya baloh telah lama tiada. Baloh itu dibuat di hadapan rumah. Pada zaman dahulu hampir setiap rumah ada baloh untuk simpan padi. Saya masih ingat lagi di kampong saya dulu ada baloh. Arwah ma dan nenek bawa saya masuk ke dalam baloh. Seronok betul ketika itu dapat bermain-main di dalam baloh. Entahlah anak-anak zaman ini masih kenal akan baloh. 

Nenek Tijah terus bercerita. Setiap rumah katanya dipasang damar untuk menerangi malam. Pada ketika itu menggunakan lampu gasolin. Lampu minyak 'catok' kalau dalam bahasa Kelantan. Diusia 100 tahun, pelbagai pahit manis dilalui oleh nenek Tijah untuk membesarkan anak-anak. Suaminya telah lama meninggal. Tinggallah nenek Tijah bersama-sama anak-anak, cucu-cucu dan saudara-mara yang tinggal tidak jauh daru rumahnya. Nenek Tijah masih kuat lagi berjalan dengan tongkatnya menziarahi titih-titihnya. Masih bertenaga.

Saya mendoakan kesejahteraan nenek Tijah dan keluarganya semoga pembaca di luar sana dapat mengambil iktibar untuk mendepani suatu kehidupan yang lebih mencabar di masa-masa akan datang. Semoga negara Malaysia akan kembali aman dan pandemik Covid19 akan terhapus dari Malaysia berkat doa nenek Tijah. Insya Allah.

Ikuti kisah Tijah Bt Latif di saluran youtube Mr Kopikarat.


No comments:

Post a Comment