Monday, August 2, 2021

Usia melebihi 1 abad, Selamah Bt Chik masih ingat kisah lari dari tentera Jepun

KG SIRAM – Rumah kayu, lantai jarang, dinding kayu dan alang kayu yang dicari dari hutan, sungguh menggamit kenangan aku sama seperti rumah arwah nenekku. Ada rak lantainya jarang-jarang untuk tempat pinggan-mangkuk, ada saji dan pelbagai lagi elemen-elemen yang mengimbau kenangan aku zaman dahulu. Di sinilah seorang nenek yang berusia lebih satu abad tinggal bersama-sama anak dan cucunya. Beliau ialah Selamah Bt Chik, panggilan ‘mak’ buat aku terkedu seketika takkala melihat raut wajahnya yang ceria seperti arwah nenekku. Berbahagialah anak-anak dan titih yang masih lagi mempunyai moyang ini. Sekali-sekala pulang ke kampung masih dapat lagi mendengar cerita-cerita kisah hidupnya.

Selamah Bt Chik duduk ditepi pintu ketika ditemubual tentang pengalamannya semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu. 

Kredit gambar Mr Kopikarat.

Mak masih sihat. Tubuh badan masih sihat. Masih boleh berjalan keluar dari biliknya ke ruang tamu dan dapur. Pertuturannya masih jelas. Tidak tersekat-sekat takkala aku bertanyakan soalan tentangnya. Ceria wajah mak. Mak akan lebih ceria bila perbualan ini di’upload’ ke youtube. Maka, anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit dapat melihat titih mereka bagi mengubat kerinduan apatah lagi di musim pandemik ketika ini yang sukar dibayangkan.

Menurut seorang cicitnya, mak sudah berusia sekitar 127 tahun. Umur lebih satu abad. Banyak pengalaman pahit dan manis dilaluinya. Mak melalui zaman-zaman era sebelum, semasa dan selepas penjahajan Jepun. Pengalaman yang tidak boleh dibuat-buat tanpa merasai sendiri pahit getir kehidupan ketika itu. Titih-titihnya yang dilahirkan selepas 1957 pastinya tidak melalui zaman susah ini dan hanya mendengar dari cerita-cerita nenek mereka ketika pulang ke kampung.

Mak lari ke negara jiran selama 6 bulan saat Jepun menjajah Tanah Melayu. Kampung halaman dan harta benda terpaksa ditinggalkan demi menyelamatkan nyawa. Ketika kedatangan Jepun orang-orang kampung sangat takut. Rumah-rumah kampung akan digali satu ruang di bawah tanah untuk bersembunyi dari tentera Jepun. Gelap dalam itu. Makan malam kena awal sebab pada waktu malam tidak lagi pasang lampu takut tentera Jepun datang. Di tempatnya keadaan tidak begitu meruncing kerana kawasannya dikawal oleh tentera Punjabi dari India. Jarang-jarang sekali tentera Jepun masuk ke kawasan ini tetapi mak pernah bertemu dengan tentera Jepun.

Mak seperti orang kampung ketika itu menaman padi. Pelihara kerbau untuk membajak. Padi pula selepas dituai akan disimpan di dalam baloh. Masa itu padi tumbuk. Tanam padi untuk simpanan dan di makan sehinggalah tiba musim menanam padi musim akan datang. Ubi kayu itu makanan harian. Bakar dan daun buat celur. Itulah makanan seketika zaman penjajahan Jepun. Tidak seperti sekarang pelbagai makanan boleh kita makan. Keluh mak dengan keluhan resah ketika itu, 'susah hidup mak zaman Jepun'. Rakan-rakan seusia mak telah lama meninggal dunia. 

Mengimbau kenangan ketika kedatangan Jepun sungguh meruntum jiwa. Aku yang mendengar kisah ini pun dapat bayangkan betapa takutnya ketika itu. Sebelah malam tidak boleh nyalakan lampu. Bergelap. nampak tentera Jepun terus bersembunyi. Harta benda terpaksa ditinggalkan dan memulakan hidup baru takkala Jepun menyerah kalah selepas Perang Dunia Ke-2. 

Setelah melalui semua itu, mak berharap negara Malaysia terus aman dan tidak lagi mengalami suatu kehidupan yang susah. Namun pada hari ini, dunia di landa satu wabak penyakit yang tidak terjangka oleh kita. Masyarakat dunia porak-peranda. Hidup dalam norma baru yang entah bila akan berakhir. Semoga dengan berkat doa mak Selamah, doa warga emas dimakbulkan oleh Allah swt menggangkat wabak Covid19 ini agar kita dapat hidup seperti sediakala dan boleh melakukan ibadah di masjid seperti dahulu.

Ikuti kisah pengalaman mak Selamah ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu di channel Mr Kopikarat.


No comments:

Post a Comment