Sunday, January 1, 2023

Cikgu dari UTeM sampaikan motivasi kepada murid-murid

SK GUAL TO’DEH – Banjir telah pun surut namun cerita-cerita banjir di Rantau Panjang terus menjadi topik hangat di kedai kopi. Pada awal November yang lalu banjir telah pun melanda daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang. Belum sempat menarik nafas lega, penduduk di kedua-dua daerah ini sekali lagi cemas dengan kejadian banjir yang lebih besar jika dibandingkan dengan 2014. Beginilah nasib penduduk di kedua-dua daerah yang bersempadan dengan Sg Golok, Thailand. Namun begitu hidup perlu diteruskan walaupun di dalam keadaan sukar sekalipun. Kejadian banjir di sini sering mendapat perhatian masyarakat di luar sana. Pelbagai agensi dan institusi pendidik yang datang untuk membantu mangsa banjir. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) antara institusi pendidikan tinggi yang sampai ke Sekolah Kebangsaan Gual To’Deh bersama-sama 100 orang sukarelawan. Sehari sebelumya rombongan ini telah melakukan kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir di Kg Serungga di dalam daerah Pasir Mas.
Prof Madya dan sukarelawan bersama-sama murid-murid SK Gual To'Deh. Kehadiran rombongan UTeM ini juga menjadi IPT yang pertama yang datang bukan sahaja membawa sukarelawan akan tetapi orang kuat universiti berbesar hati untuk menyampaikan motivasi kepada murid-murid yang hampir 90% terkesan dengan banjir pada kali ini. Prof Madya Dato Dr Sabri B Mohammad Sharif iaitu Timbalan Main Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni berbesar hati menyampaikan motivasi kepada murid-murid kita. Kelihatan raut wajah ceria murid-murid takkala melihat abang dan kakak para sukarelawan bersama-sama mereka ketika di dewan sekolah. Mereka sangat tertarik dengan motivasi yang disampaikan oleh ‘Cikgu’ dari UTeM. Prof Madya membiasakan panggilan ‘Cikgu’ di hadapan murid-murid. Suasana ceria dapat saya rasakan dan mereka faham apa yang disampaikan oleh cikgu dari UTeM. Jujur saya katakan suatu cabaran yang besar menjadi seorang guru di kawasan yang sering dilanda banjir. Bidang tugas bukan sahaja di dalam kelas malah kami sedaya upaya menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif untuk memulakan hari pertama persekolahan walaupun baru sahaja dilanda banjir. Penat lelah siapa yang tahu dan akhirnya penat lelah itu hilang dengan sendirinya takkala melihat murid-murid datang ke sekolah dan dapat belajar walaupun serba kekurangan. Banjir pada kali ini telah memberikan kesan besar kepada warga sekolah kerana kami hampir kehilangan harta benda seperti di makmal sains, koperasi, surau dan dewan. Murid-murid duduk bersila ketika perhimpunan kerana ketiadaan kerusi untuk mereka. Namun mungkin dengan cara ini mereka belajar akan erti kesusahan supaya mereka lebih kuat menempuhi masa yang mendatang. Motivasi yang disampaikan oleh ‘Cikgu’ begitu menusuk jiwa setiap murid. Mereka nampak bersemangat untuk terus belajar walau dalam keadaan sukar sekalipun. Murid-murid memberikan respon yang positif ketika mendengar motivasi yang disampaikan. Mereka juga gembira dapat bersama-sama kakak dan abang sukarelawan yang juga telah menghiburkan mereka ketika di dewan. Suatu pendekatan yang baik pihak universiti turun padang menyelami anak-anak kampung kerana mereka inilah suatu masa kelak akan menjejakkan kaki ke univerisiti di seluruh Malaysia.
Prof Madya menyampaikan sumbangan kepada warga sekolah. Saya mewakili pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Akmal yang berhubung dengan saya sepanjang 2 hari kami masuk kampung. Kerja-kerja amal sebegini memberikan impak yang besar kepada mangsa-mangsa banjir. Bibir mereka tidak kering mengucapkan terima kasih kepada UTeM setelah mereka juga berpenat lelah membersihkan kawasan rumah. Dengan kehadiran sukarelawan UTeM banyak kerja-kerja pembersihan telah selesai dengan jayanya. Syabas diucapkan kepada semua warga UTeM.

No comments:

Post a Comment