Saturday, December 31, 2022

Sukarelawan UTeM bersih rumah mangsa banjir di Kg Serungga

KG SERUNGGA – Mangsa banjir menarik lafas lega apabila sekumpulan sukarelawan dari Univerisiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) seramai 100 peserta bersama-sama pensyarah dan staf melakukan kerja-kerja membersihkan rumah mereka yang ditenggelami air. Banjir yang bermula pertengahan Desember 2022 merupakan kejadian yang tidak terjangka oleh penduduk kampung. Banjir kali ini adalah yang terbesar jika dibandingkan pada banjir 2014. Penduduk kampung menunggu rombongan UTeM sekitar jam 10 pagi. Saya Khun Matt (คุณแมท) pengerusi NGO Hannan telah memaklumkan kepada seorang penduduk kampung kira-kira seminggu sebelum kedatangan rombongan ini. Mereka sangat gembira mendengar perkhabaran tersebut kerana mereka tidak mampu lagi membersihkan rumah kerana jarak masa banjir pertama dan kedua sangat dekat. Justeru itu mereka menerima kehadiran rombongan UTeM dengan penuh pengharapan dan kesyukuran. Parlimen Pasir Mas dan Parlimen Rantau Panjang telah bekerjasama menguruskan rombongan sukarelawan ini ke Kg Serungga iaitu kampung yang teruk terjejas banjir.
Sukarelawan UTeM bersama-sama pengerusi NGO Hannan (Khun Matt คุณแมท) dan Sukarelawan Pasir Mas. Kg Serungga sudah sinonim dengan bencana ekoran lokasinya yang rendah terletak berhampiran tebing sungai. Akan tetapi banjir kali ini benar-benar mengejutkan penduduk kampung. Lokasi yang dituju pada hari ini dikenali sebagai Kg Serungga Hilir. Paras air lebih tinggi daripada banjir 2014. Bahagian dapur sebahagian rumah mencecah paras bumbung. Pinggan mangkuk ada yang tersangkut di bumbung menunjukkan paras air pada ketika itu. Mereka hanya mampu membersihkan kawasan atas rumah untuk tidur dan tempat makan. Manakala perabot semua tenggelam banjir. Saya dapat melihat keterujaan sukarelawan ketika mereka sampai ke kampung itu. Mereka terkejut melihat paras air. Seorang sukarelawan yang saya temui berkata beliau belum pernah melihat paras air setinggi ini dan terkejut melihat keadaan di dalam rumah terutamanya di bahagian dapur yang berselut menyelimuti pinggan mangkuk dan almari. Hiba katanya melihat kesan-kesan banjir di kampung itu. Beliau juag berkata sangat bersyukur dapat turut serta bersama-sama sukarelawan membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah mereka. Syabas diucapkan kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kerana berlapang dada datang bersama-sama sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir. ‘Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Begitulah dapat saya ibaratkan perasaan hati mangsa-mangsa di Kg Serungga. Semoga ada sinar buat mereka. Seorang penduduk yang saya temui iaitu Kak Moh berkata beliau sangat bersyukur kerana rumahnya sudah bersih dan berterima kasih kepada sukarelawan UTeM, NGO Hannan, Ustaz Padli (Parlimen Pasir Mas) dan Kak Lah (Parlimen Ratau Panjang) yang menyokong kepada usaha murni ini.
Syabas kepada anak-anak muda yang berminat menjadi sukarelawan. Jika tidak dari hati dan kerelaan pastinya mereka tidak akan berada di sini berkongsi kedukaan dengan penduduk kampung. Lebih baik berehat di bilik asrama sambil melayan tiktok. Namun kesediaan membantu cukup memberikan inspirasi kepada semua pelajar universiti di Malaysia.

1 comment:

  1. Terbaik Cikgu Mat...saya tadi salah seorang yg dalam team UTeM tu...Alhamdulillah penduduk yang kami bantu ni pun sangat peramah...

    ReplyDelete