Tuesday, December 27, 2022

Banjir hampir mencecah bumbung rumah

KG SERUNGGA – Hujan lebat yang turun tidak henti-henti hampir seminggu menyebabkan banjir besar di daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang. Keadaan banjir yang tidak terjangka oleh penduduk kampung. Pada tahun 2014 iaitu 8 tahun yang lalu banjir terburuk sejak 40 tahun dikenali sebagai ‘bah kuning’ telah melanda negeri Kelantan. Saya juga turut terkesan pada ketika itu dan paras air ketika banjir ini di dalam rumah lebih tinggi dari tahun 2014. Kami terpaksa naik ke tingkat atas dan apabila malam suasana sunyi sepi kerana penduduk kawasan perumahan di tepi jalan besar telah berpindah ke pusat pemindahan banjir. Kampung-kampung di dalam daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang paling banyak dinaiki air. Kg To’Deh, Kg Tersang dan Kg Lachang di Rantau Panjang sudah sinonim dengan banjir dan cukup terkenal seantaro Malaysia. Manakala di daerah Pasir Mas seperti Kg Serungga, Kg Jewawi dan Bongor antara lokasi yang sering dinaik air. Pada kali ini saya ingin menfokuskan kepada satu kelompok penduduk di Kg Serungga. Dimaklumkan Kg Serungga dibahagikan kepada bahagian hilir, hulu dan jatuh (istilah orang kampung). Sekumpulan NGO dari IRM bersama-sama saudara Ikmal telah masuk ke satu kumpulan penduduk di kampung itu yang belum lagi ada NGO lain yang sampai. Saya dimaklumkan di dalam media sosial supaya bantuan segera diberikan kepada kelompok penduduk tersebut. Maka, saudara Ikmal dan IRM bergegas keesokkan harinya masuk ke kampung tersebut dibantu oleh seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Nik.
Saudara Ikmal bersama-sama IRM mengagihkan sumbangan banjir di Kg Serungga. Saya dimaklumkan oleh saudara Ikmal keadaan di dalam kampung itu sangat mengharukan. Hampir setiap rumah paras air mencecah bumbung. Bayangkan pada ketika itu mereka bergerak ke pusat pemindahan banjir dalam keadaan rumah yang penuh dengan perabot dan barangan dapur yang tidak dapat diselamatkan. Musnah begitu sahaja peti ais, dapur dan mesin basuh. Namun begitu mereka sentiasa berhadapan dengan banjir ini hampir 2 ke 3 kali setahun. Sudah menjadi perkara biasa bagi mereka. Maka, bersyukur lah kita yang tidak diuji dengan musibah banjir yang besar seperti mereka.
IRM sedang mengagihkan bantuan banjir dan keadaan di dalam rumah seorang penduduk yang kosong tidak ada apa-apa perabot kerana rosak ditenggelami banjir. Justeru itu, kita hanya mampu membantu bagi meringankan beban mereka. Bak kata pepatah ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Sukar untuk digambarkan apabila setiap tahun mereka tahu akan kehilangan harta benda akibat banjir. Namun sebagai orang Islam mereka redha dan berserah kepada Allah SWT dan apajua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Terima kasih saudara Ikmal dan IRM kerana dengan izinNya dapat masuk ke kelompok penduduk di Kg Serungga yang belum ada lagi NGO yang masuk ke tempat itu. Wajah ceria dapat dilihat ketika mereka menerima sumbangan banjir. Semoga dengan berkat doa orang-orang kampung usaha ini akan dirahmati oleh Allah SWT. Amiin.

No comments:

Post a Comment