Tuesday, December 27, 2022

Warga guru prihatin bantu mangsa banjir

KG SERUNGGA – Banjir suatu fenomena alam yang tidak asing lagi bagi daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang. Negeri Kelantan yang tertelak di pantai timur semenanjung Malaysia terdedah kepada taburan hujan yang tinggi terutama ketika musim tengkujuh sekitar bulan November hingga Mac. Namun begitu sejak akhir-akhir ini banjir yang melanda daerah ini boleh dikatakan semakin besar dan amat menakutkan penduduk kampung. Banjir 2014 di Kelantan yang dikenali sebagai ‘bah kuning’ dikatakan antara terburuk dalam tempoh 40 tahun. Akan tetapi banjir kali ke dua pada hujung tahun 2022 dikatakan di sesetengah tempat lebih buruk dari tahun 2014. Daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang antara lokasi yang paling teruk dilanda banjir pada kali ini bermula pada 18hb Disember 2022. Hujan tanpa henti hampir seminggu telah meningkatkan paras sungai Lubok Jong dan sungai Golok iaitu dua sungai yang mengalir di kedua-dua daerah ini. Paras air begitu cepat naik dalam tempoh beberapa jam. Air mula naik di laluan Lubok Jong dan lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang. Di kawasan rumah saya Heritage Villa, paras air di dalam rumah sedalam 5 inci dan diluar rumah pada paras dada. Ukuran ini lebih besar jika dibandingkan dengan banjir 2014. Setiap kali banjir yang melanda, NGO dan orang perseorangan tanpa mengira ideologi politik cepat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Boleh dikatakan kampung-kampung sepanjang sungai Golok dan Lubok Jong ada yang tenggelam sehingga paras bumbung. Sukar untuk dibayangkan keadaan rumah dan orang kampung berpindah pada ketika itu. Antara kampung yang teruk terjejas ialah Kg Serungga yang terletak di dalam daerah Pasir Mas. Maka di atas dasar keprihatinan sekumpulan guru yang diketuai oleh Cikgu Hanapi seorang guru besar di Tanah Merah mengumpulkan dana dan menyalurkan bantuan kepada sebahagian penduduk kampung tersebut. Mereka bergerak dari Tanah Merah seawal 8.30 pagi dan sampai di perkampungan tersebut sekitar jam 9.45 pagi. Ketibaan mereka disambut baik oleh penduduk kampung walaupun mereka ketika itu sibuk membersihkan rumah masing-masing yang ditenggelami air hampir paras bumbung.
Cikgu Hanapi dan warga guru bersama-sama seorang penduduk kampung Serungga mengagihkan sumbangan. Seorang penduduk kampung Marina Musa nampak ceria ketika menerima sumbangan banjir daripada cikgu Hanapi dan rakan-rakan gurunya. Walaupun masih berduka kerana rumahnya ditenggelami banjir tetapi dengan sumbangan yang diberikan sekurang-kurangknya mengembalikan sedikit kecerian diwajahnya. Itulah kecaknaan warga pendidik di sekitar Tanah Merah sanggup turun ke lokasi kampung yang ditenggelami banjir.
Seorang warga emas iaitu 'Mok' meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada cikgu Hanapi dan rakan-rakan guru yang menghulurkan sumbangan kepada anak-beranaknya. ‘Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’ begitulah boleh diibaratkan keadaan mereka semasa dan selepas banjir. Semasa banjir mereka merendah air ke pusat pemindahan tanpa dapat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah dan selepas banjir pula mereka kehilangan kenderaan seperti kereta dan motor yang ditenggelami air. Manakan terfikir untuk menyelamatkan harta benda takkala nyawa perlu diselamatkan. Hanya berserah dan tawakkal kepada Allah SWT.
Dapur habis tenggelam dan di ruang tamu paras air melebihi paras dada. Alhamdulillah sumbangan telah diagihkan kepada penduduk kampung. Nilai sumbangan itu bukan ukuran tetapi yang lebih penting adalah keperihatinan dan kecaknaan kepada mangsa-mangsa banjir. Saya Khun Matt (คุณแมท) mewakili penduduk Kg Serungga mengucapkan jutaan terima kasih kepada cikgu Hanapi dan rakan-rakan gurunya di atas sumbangan yang telah diberikan kepada penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment