Tuesday, July 22, 2025

Majlis Ilmu di Madrasah Al-Amin: Menyubur Ruhani, Menyatukan Hati

KG PAK JAK - Pada tanggal 22 Julai 2025, saya berpeluang menghadiri satu majlis ilmu yang amat bermakna bertempat di Madrasah Al-Amin, Kampung Pakjak dalam daerah Pasir Mas. Majlis ini dianjurkan oleh Persatuan Belia Prihatin (PBP) yang diketuai oleh pengerusi berwibawa, Tuan Hamdan bin Mat. Penceramah jemputan pada malam itu ialah Ustaz Adnan, yang juga merupakan ahli PBP yang aktif menyampaikan dakwah secara konsisten di sekitar kampung.

Tajuk ceramah pada malam itu ialah "Menuntut Solat Berjemaah", sebuah topik yang sangat dekat dan relevan dengan kehidupan kita sebagai umat Islam. Solat berjemaah bukan sekadar tuntutan ibadah, tetapi juga simbol perpaduan dan kekuatan ummah. Sabda Rasulullah SAW:

"Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini memberi penekanan tentang kelebihan luar biasa solat berjemaah yang seharusnya menjadi rutin utama dalam kehidupan seorang Muslim.

Alhamdulillah, pada malam itu saya bersama anak telah diberi ruang dan masa oleh Allah SWT untuk hadir, bersama-sama dengan para ahli PBP serta penduduk kampung yang lain. Majlis ini bukan sahaja menyuburkan rohani saya yang kadangkala leka dan tenggelam dalam rutin kerja harian, malah turut mengingatkan saya bahawa kelalaian terhadap solat berjemaah adalah kehilangan yang besar dalam kehidupan beragama.

Apa yang lebih menyentuh hati, selepas solat Isyak, semua hadirin dijamu dengan juadah ringkas namun istimewa—nasi berlauk ikan kering yang dimakan secara berjemaah. Walaupun hidangan ini kelihatan sederhana, ia membawa makna yang mendalam. Inilah hakikat sebenar nikmat—bukan hanya pada rasa makanan, tetapi dalam keberkatan berkumpul, beramah mesra, dan merasai kasih sayang sesama saudara Islam.

Sabda Rasulullah SAW:
"Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga."
(Hadis Riwayat Muslim).

Moga majlis seperti ini terus menjadi pemangkin semangat kepada saya, anak, dan seluruh masyarakat untuk lebih dekat kepada agama. Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan kepada saya untuk menghadiri lagi program-program seumpama ini, sebagai bekalan diri menuju akhirat.

No comments:

Post a Comment

Kematian dan Seksa Kubur

KG SEBERANG MERBAU HILIR - Pada malam yang penuh keberkatan itu, Surau Kampung Seberang Merbau Hilir menjadi saksi kepada sebuah majlis ilmu...