Sunday, August 31, 2025

SUASANA MERDEKA BERGEMA DI ALAM DESA

KG SERONGGA A.K.A SERONGGA CITY - Sukar benar hendak digambarkan akan kemeriahan yang menyelubungi sambutan hari keramat kemerdekaan di Kampung Serongga, daerah Pasir Mas, Kelantan. Sesungguhnya, pada malam tersebut, langit pun seolah-olah turut tersenyum, menyaksikan anak watan desa bangkit menghidupkan suasana seakan kembali ke zaman sebelum merdeka.

Inilah AJK Kg Serongga a.k.a Serongga City yang menjadi tulang belakang penganjuran Sambutan Kemerdekaan Kali Ke-68 menjelang 31 Ogos. Terlajak tampan dan gagah perkasa seperti Badang di dalam filem Melayu Klasik.

Sekalian pintu gerbang dihias dengan bendera beraneka warna, tergantung megah melambai-lambai ditiup bayu malam. Pentas utama pula diterangi karak-karak api yang dipasang pada batang-batang buluh, berderet menyala seperti obor zaman purbakala, menjadikan suasana malam itu penuh gilang-gemilang.

Tiadalah terperi indahnya tatkala perarakan agung berlangsung, tatkala "Permaisuri Serongga" berangkat masuk, diiringi hulubalang-hulubalang yang gagah lagi tampan, memegang unggun api umpama pendekar di zaman silam. Sorak sorai hadirin berderai, anak kecil hinggalah ke orang tua, semuanya berdiri memberi hormat sambil melaungkan kata-kata keramat, “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

Terselit jua acara yang menghiburkan hati sekalian rakyat, iaitu Pertandingan Ratu Kebaya, di mana para gadis desa berlenggang dengan penuh ayu serta sopan, menzahirkan kecantikan dan warisan busana Melayu nan asli. Setelah itu, cabutan bertuah pula menceriakan hadirin, membawa gelak tawa dan senyuman yang tiada putus-putus. Tidak ketinggalan tayangan filem agung Bukit Kepong, yang menggetarkan jiwa setiap penonton, menyalakan kembali api semangat perjuangan bangsa menentang penjajahan.

Namun, acara yang paling dinanti sekalian rakyat ialah tatkala Permaisuri Serongga, yang jarang-jarang sekali keluar dari dalam kampung, tampil di pentas utama dengan penuh wibawa. Sejurus berdiri, baginda pun mendeklamasikan sebuah sajak kemerdekaan dengan suara lantang bergetar jiwa Maka bergemalah tepukan gemuruh seantero rakyat jelata, sebahagiannya menitiskan a.ta, terharu dengan kata-kata keramat yang menusuk ke sanubari.

Seorang ahli jawatankuasa penganjur, saudara Epy, tatkala ditemui, meluahkan rasa kagum serta terharu akan sambutan luar biasa ini. Katanya, tidak pernah disangka begitu ramai penduduk kampung keluar beramai-ramai, menanti sehingga detik jam dua belas malam, seolah-olah sedang menunggu laungan azan kemerdekaan bergema dari menara negara.

Sesungguhnya, sambutan sebegini bukan sekadar hiburan semata, bahkan menjadi medan menyuburkan semangat perpaduan. Andai kata sebelum merdeka nenek moyang kita bersatu padu melawan penjajah, maka generasi kini pula wajib bersatu menegakkan maruah bangsa melalui ilmu, perpaduan dan akhlak mulia.

Bangkitlah wahai anak watan, genggam bara perjuangan ini jangan sampai padam. Biarlah tubuh rebah menyembah bumi, namun semangat merdeka tetap membara di jiwa.

Demikianlah, malam di Serongga menjadi saksi kepada perpaduan, kegembiraan dan rasa cinta akan tanah air. Semoga semangat ini terus mekar, menjadi warisan untuk anak cucu, agar mereka mengerti bahawa kemerdekaan ini bukan datang bergolek, melainkan hasil titisan darah dan keringat para pejuang bangsa.

Hidup Merdeka! Hidup Serongga!


Album Sambutan Merdeka Kg Serongga, 2025











No comments:

Post a Comment

Kematian dan Seksa Kubur

KG SEBERANG MERBAU HILIR - Pada malam yang penuh keberkatan itu, Surau Kampung Seberang Merbau Hilir menjadi saksi kepada sebuah majlis ilmu...