Thursday, August 5, 2021

Lemang Nogori Lubok Jong Tersohor: 11 tahun bakar lemang

LUBOK JONG – Siapa tidak kenal Lemang Nogori Lubok Jong kalau betul-betul tinggal di sekitar Lubok Jong kerana lokasi yang strategik di antara Pasir Mas dan Rantau Panjang. Bermula dari satu cetusan idea yang boleh dijadikan inspirasi kepada yang ingin berniaga. Bakar lemang kira-kira 11 tahun dahulu hanya sekadar untuk keluarga, tidak disangka-sangka orang ramai minta dia jual lemang.

Pengusaha Lemang Nogori Lubok Jong sedang membakar lemang yang di tempah oleh pelanggan dan yang akan dijual di gerainya di tepi jalan. Kredit gambar Mr Kopikarat.

Seorang pemuda yang berasal dari Seremban, Negeri 9 berhijrah ke negeri Kelantan kira-kira lebih 10 tahun yang lalu. Pada ketika itu dia melakukan beberapa pekerjaan demi menyara sebuah keluarga yang baru dibina ketika itu. Daripada seorang pekerja di kedai hardware kini bergelar tauke lemang tersohor di negeri Kelantan khususnya di sekitar Pasir Mas.

Pada awalnya, dia membakar lemang ketika musim-musim perayaan kerana pada ketika itu sambutan tinggi. Di Kelantan, pada ketika itu tidak ramai pengusaha lemang jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti N9 dan Pahang. Makanya, lemang akan mudah dibeli hanya ketika musim perayaan. Namun keadaan semakin berubah. Permintaan ke atas lemang tidak mengira musim. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja permintaan lemang dan beliau selalu menerima tempahan walaupun kurang daripada 50 batang. Beliau sekali-kali tidak mahu menghampakan pelanggannya yang sentiasa menanti lemang originalnya itu.

Proses membuat lemang sangat unik dan lama. Bahan-bahan perlu disiapkan seawal pagi sebelum boleh dimasukkan ke dalam buluh seawall pukul 8.30 pagi dan mula dibakar sekiatar pukul 9.00 pagi. Bakar lemang bukan seperti bakar ikan. Api perlu dijaga agar buluh lemang tidak hangus. Buluh lemang pula ‘special’. Tidak boleh digunakan buluh biasa yang kita lihat di tepi-tepi rumah. Buluh ini kecil dan nipis dikenali sebagai buluh tebu. Dia memanjat sendiri bukit mencari buluh sekitar Dabong. Di kawasan Pasir Mas tidak terdapat buluh jenis itu. Proses membakar lemang mengambil masa selama 5 jam. Makanya kalau mula dibakar sekitar jam 9 pagi, lemang akan masak sekitar jam 2 petang.

Saya sempat singgah di lokasi penyediaan lemang di hadapan rumahnya. Kawasan kampung di tepi Sg Lubok Jong. Suasana kampung di kelilingi pokok-pokok rambutan yang berbuah lebat dan ada pokok petai sedang meranum. Suasana kampung yang menyerlahkan lagi keenakan lemang Nogori ini. Pastinya dibuat mengikut resipi tradisi dari Negeri 9. Makannya, tidak perlu ke N9 hatta ingin merasa lemang dan rendang Minang. Telah tersedia di Lubok Jong.

Kepada sesiapa sahaja yang teringin merasai lemang Nogori, telefon atau whatsap sahaja beliau untuk COD atau datang sendiri ke gerainya di tepi jalan lebuhraya Pasir Mas – Rantau Panjang di talian/whatsap 017-9121585.

Lihat video jalan-jalan cari makan saya ke Lemang Nogori Lubok Jong di channel Mr Kopikarat.

Tuesday, August 3, 2021

Ribut kencang di Repek, pokok saiz balak tumbang ke atas sebuah rumah, penghuni trauma.

 

KG REPEK – “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Hujan lebat pada sebelah petang bukanlah hujan biasa tetapi hujan lebat bersama-sama ribut kencang yang di alami oleh penduduk kampung di sekitar Pasir Mas dan Kampung Repek antara yang terjejas. Masih trauma dan ketakutan akibat kejadian itu, ahli keluarga ini hanya mampu bersabar dan tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

Setiap kali hujan, hatinya berdebar-debar dan pandangan mata hanya tertumpu kepada sebatang pokok besar yang berada di sebelah rumahnya. Hati mana tidak pilu takkala hujan dan ribut melihat pokok itu terhayung-hayung menanti masa dan ketika untuk tumbang. Sebelum ini sebatang pokok telah tumbang dan terkena tandas belakang rumahnya.

Bilal Malaya a.k.a Hamdan Mat berdiri di hadapan pokok bersaiz balak yang tumbang ke atas rumahnya ketika hujan lebat dan ribut yang berlaku sekitar pukul 5.30 petang. Kredit gambar oleh Mr Kopikarat.

Sejak seminggu yang lalu, hujan sering berlaku pada sebelah petang. Akan tetapi semalam hujan lebat itu berlaku sekali dengan ribut yang kuat. Sepanjang saya ke rumah beliau, saya dapat lihat beberapa laluan pokok dan dahan yang sudah dibersihkan di tepi-tepi jalan. Khabarnya hujan dan ribut juga berlaku sekitar Pohon Tanjung dan beberapa kampung lagi. Sekitar Lubok Jong hanya hujan lebat. Apa yang bermain di fikirannya selama ini akhir terjadi. Petang itu hujan sangat lebat. Menurut isterinya, mereka berkumpul di bahagian dapur berharap pokok itu sekiranya tumbang tidak kena bahagian dapur. Sebaliknya pokok itu tumbang betul-betul bahagian bucu dapur. Dia yang memegang erat cucunya terus lari menyelamatkan diri. Dia bercerita dalam keadaan yang masih takut dan trauma. Bayangkan ketika itu sedang memeluk erat cucunya.

Sebaik hujan dan ribut reda, kami sekeluarga berasa selamat dan melihat keadaan di sekitar dan dalam rumah. Sebuah bilik yang mana bumbung atas perlu ditukar sama sekali kerana keadaan yang tidak selamat. Pihak bomba juga memaklumkan keadaan bumbung yang tidak begitu selamat kerana kerangka rumah yang retak akibat dihempap batang pokok itu. Bahagian bucu dapur juga mengalami kerosakan.

Alhamdulillah sejurus keadaan selamat, orang-orang berdekatan dan pihak bomba datang membantu mengalihkan pokok besar itu. Sekiranya hujan pastinya kawasan rumah akan digenangi air hujan. Struktur asas yang rosak dan bumbung perlu diperbaiki secepat mungkin. Saya menyeru masyarakat dan netizen di luar sana berlapang dada untuk membantu saudara kita Bilal Malaya ini supaya keluarganya kembali ceria apatah lagi cucunya yang masih kecil itu. Semoga usaha kita membantu beliau dapat disegerakan.

Sebarang bantuan sila hubungi terus Bilal Malaya di talian 013-9496174


Kisah ini di youtube Mr Kopikarat

Monday, August 2, 2021

Usia melebihi 1 abad, Selamah Bt Chik masih ingat kisah lari dari tentera Jepun

KG SIRAM – Rumah kayu, lantai jarang, dinding kayu dan alang kayu yang dicari dari hutan, sungguh menggamit kenangan aku sama seperti rumah arwah nenekku. Ada rak lantainya jarang-jarang untuk tempat pinggan-mangkuk, ada saji dan pelbagai lagi elemen-elemen yang mengimbau kenangan aku zaman dahulu. Di sinilah seorang nenek yang berusia lebih satu abad tinggal bersama-sama anak dan cucunya. Beliau ialah Selamah Bt Chik, panggilan ‘mak’ buat aku terkedu seketika takkala melihat raut wajahnya yang ceria seperti arwah nenekku. Berbahagialah anak-anak dan titih yang masih lagi mempunyai moyang ini. Sekali-sekala pulang ke kampung masih dapat lagi mendengar cerita-cerita kisah hidupnya.

Selamah Bt Chik duduk ditepi pintu ketika ditemubual tentang pengalamannya semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu. 

Kredit gambar Mr Kopikarat.

Mak masih sihat. Tubuh badan masih sihat. Masih boleh berjalan keluar dari biliknya ke ruang tamu dan dapur. Pertuturannya masih jelas. Tidak tersekat-sekat takkala aku bertanyakan soalan tentangnya. Ceria wajah mak. Mak akan lebih ceria bila perbualan ini di’upload’ ke youtube. Maka, anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit dapat melihat titih mereka bagi mengubat kerinduan apatah lagi di musim pandemik ketika ini yang sukar dibayangkan.

Menurut seorang cicitnya, mak sudah berusia sekitar 127 tahun. Umur lebih satu abad. Banyak pengalaman pahit dan manis dilaluinya. Mak melalui zaman-zaman era sebelum, semasa dan selepas penjahajan Jepun. Pengalaman yang tidak boleh dibuat-buat tanpa merasai sendiri pahit getir kehidupan ketika itu. Titih-titihnya yang dilahirkan selepas 1957 pastinya tidak melalui zaman susah ini dan hanya mendengar dari cerita-cerita nenek mereka ketika pulang ke kampung.

Mak lari ke negara jiran selama 6 bulan saat Jepun menjajah Tanah Melayu. Kampung halaman dan harta benda terpaksa ditinggalkan demi menyelamatkan nyawa. Ketika kedatangan Jepun orang-orang kampung sangat takut. Rumah-rumah kampung akan digali satu ruang di bawah tanah untuk bersembunyi dari tentera Jepun. Gelap dalam itu. Makan malam kena awal sebab pada waktu malam tidak lagi pasang lampu takut tentera Jepun datang. Di tempatnya keadaan tidak begitu meruncing kerana kawasannya dikawal oleh tentera Punjabi dari India. Jarang-jarang sekali tentera Jepun masuk ke kawasan ini tetapi mak pernah bertemu dengan tentera Jepun.

Mak seperti orang kampung ketika itu menaman padi. Pelihara kerbau untuk membajak. Padi pula selepas dituai akan disimpan di dalam baloh. Masa itu padi tumbuk. Tanam padi untuk simpanan dan di makan sehinggalah tiba musim menanam padi musim akan datang. Ubi kayu itu makanan harian. Bakar dan daun buat celur. Itulah makanan seketika zaman penjajahan Jepun. Tidak seperti sekarang pelbagai makanan boleh kita makan. Keluh mak dengan keluhan resah ketika itu, 'susah hidup mak zaman Jepun'. Rakan-rakan seusia mak telah lama meninggal dunia. 

Mengimbau kenangan ketika kedatangan Jepun sungguh meruntum jiwa. Aku yang mendengar kisah ini pun dapat bayangkan betapa takutnya ketika itu. Sebelah malam tidak boleh nyalakan lampu. Bergelap. nampak tentera Jepun terus bersembunyi. Harta benda terpaksa ditinggalkan dan memulakan hidup baru takkala Jepun menyerah kalah selepas Perang Dunia Ke-2. 

Setelah melalui semua itu, mak berharap negara Malaysia terus aman dan tidak lagi mengalami suatu kehidupan yang susah. Namun pada hari ini, dunia di landa satu wabak penyakit yang tidak terjangka oleh kita. Masyarakat dunia porak-peranda. Hidup dalam norma baru yang entah bila akan berakhir. Semoga dengan berkat doa mak Selamah, doa warga emas dimakbulkan oleh Allah swt menggangkat wabak Covid19 ini agar kita dapat hidup seperti sediakala dan boleh melakukan ibadah di masjid seperti dahulu.

Ikuti kisah pengalaman mak Selamah ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu di channel Mr Kopikarat.