Saturday, December 31, 2022

Sukarelawan UTeM bersih rumah mangsa banjir di Kg Serungga

KG SERUNGGA – Mangsa banjir menarik lafas lega apabila sekumpulan sukarelawan dari Univerisiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) seramai 100 peserta bersama-sama pensyarah dan staf melakukan kerja-kerja membersihkan rumah mereka yang ditenggelami air. Banjir yang bermula pertengahan Desember 2022 merupakan kejadian yang tidak terjangka oleh penduduk kampung. Banjir kali ini adalah yang terbesar jika dibandingkan pada banjir 2014. Penduduk kampung menunggu rombongan UTeM sekitar jam 10 pagi. Saya Khun Matt (คุณแมท) pengerusi NGO Hannan telah memaklumkan kepada seorang penduduk kampung kira-kira seminggu sebelum kedatangan rombongan ini. Mereka sangat gembira mendengar perkhabaran tersebut kerana mereka tidak mampu lagi membersihkan rumah kerana jarak masa banjir pertama dan kedua sangat dekat. Justeru itu mereka menerima kehadiran rombongan UTeM dengan penuh pengharapan dan kesyukuran. Parlimen Pasir Mas dan Parlimen Rantau Panjang telah bekerjasama menguruskan rombongan sukarelawan ini ke Kg Serungga iaitu kampung yang teruk terjejas banjir.
Sukarelawan UTeM bersama-sama pengerusi NGO Hannan (Khun Matt คุณแมท) dan Sukarelawan Pasir Mas. Kg Serungga sudah sinonim dengan bencana ekoran lokasinya yang rendah terletak berhampiran tebing sungai. Akan tetapi banjir kali ini benar-benar mengejutkan penduduk kampung. Lokasi yang dituju pada hari ini dikenali sebagai Kg Serungga Hilir. Paras air lebih tinggi daripada banjir 2014. Bahagian dapur sebahagian rumah mencecah paras bumbung. Pinggan mangkuk ada yang tersangkut di bumbung menunjukkan paras air pada ketika itu. Mereka hanya mampu membersihkan kawasan atas rumah untuk tidur dan tempat makan. Manakala perabot semua tenggelam banjir. Saya dapat melihat keterujaan sukarelawan ketika mereka sampai ke kampung itu. Mereka terkejut melihat paras air. Seorang sukarelawan yang saya temui berkata beliau belum pernah melihat paras air setinggi ini dan terkejut melihat keadaan di dalam rumah terutamanya di bahagian dapur yang berselut menyelimuti pinggan mangkuk dan almari. Hiba katanya melihat kesan-kesan banjir di kampung itu. Beliau juag berkata sangat bersyukur dapat turut serta bersama-sama sukarelawan membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah mereka. Syabas diucapkan kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kerana berlapang dada datang bersama-sama sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir. ‘Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Begitulah dapat saya ibaratkan perasaan hati mangsa-mangsa di Kg Serungga. Semoga ada sinar buat mereka. Seorang penduduk yang saya temui iaitu Kak Moh berkata beliau sangat bersyukur kerana rumahnya sudah bersih dan berterima kasih kepada sukarelawan UTeM, NGO Hannan, Ustaz Padli (Parlimen Pasir Mas) dan Kak Lah (Parlimen Ratau Panjang) yang menyokong kepada usaha murni ini.
Syabas kepada anak-anak muda yang berminat menjadi sukarelawan. Jika tidak dari hati dan kerelaan pastinya mereka tidak akan berada di sini berkongsi kedukaan dengan penduduk kampung. Lebih baik berehat di bilik asrama sambil melayan tiktok. Namun kesediaan membantu cukup memberikan inspirasi kepada semua pelajar universiti di Malaysia.

Friday, December 30, 2022

Sumbangan banjir Kelab Rotary dan Klinik Primer Cherang Kota Bharu ke Kg Serungga

KG SERUNGGA – Saya menerima panggil dari Kelab Rotary Kota Bharu hampir dua minggu yang lalu. Sebelum ini pun saya pernah membawa pasukan ini ke kampung saya iaitu Kg Tok Sangkut yang banjir besar pada Februari 2022. Banjir tersebut merupakan yang paling besar sejak 40 tahun lalu dan telah meragut satu nyawa. Selepas banjir surut Kelab Rotary bersama-sama Dr Jega dan Sam ingin masuk ke kampung saya dan memberikan sumbangan. Manakala hujan turun tanpa henti hampir seminggu bermula sekitar 15 Desember 2022 di kebanyakkan daerah di Kelantan telah meyebabkan paras air sungai naik. Air naik begitu cepat. Dalam tempoh 2 jam sahaja air sudah naik ke paras lutut. Di kawasan rumah saya di Lubok Jong pada 19 Desember, paras air di hadapan rumah mencecah hampir paras dada dan di dalam rumah lebih kurang lima inci. Kalau sebelumnya air yang besar di Lubok Jong, kawasan kampung di tepi-tepi sungai sudah tentu akan lebih dalam. Maka, banjir yang begitu besar tidak terjangka oleh penduduk kampung telah berlaku dan Kg Serungga antara kampung yang dinaiki air hampir paras bumbung rumah.
Bersama-sama penduduk kampung sumbangan amal Kelab Rotary Kota Bharu dan Klinik Primer Cherang Kota Bharu. Pada hari ini Kelab Rotary Kota Bharu dan Klinik Primer Cherang telah berbesar hati masuk ke Kg Serungga membawa sumbangan seperti bantal, toto, dapur gas dan peralatan kebersihan. Antara yang hadir ialah presiden Kelab Rotary KB iaitu Sam, Dr Jega, Dato dan pasukannya dan dua orang doktor dari Klinik Primer Cherang. Pasukan itu sampai ke kampung kira-kira jam 11.15 pagi. Di dalam perjalanan ke kampung itu saya berbual-bual dengan Dr Jega dan dia terkejut melihat paras air yang naik mencecah bumbung di kampung tersebut.
Bersama-sama Dr jega di alam perjalanan ke Kg Serungga. Penduduk kampung telah menunggu kedatangan rombongan seawal pukul 10 pagi. Saya maklumkan kepada seorang penduduk kampung supaya mereka berkumpul di satu rumah senang untuk membahagikan sumbangan. Penduduk kampung teruja dapat tengok Dr Jega turun padang dan membantu mangsa banjir. Ada penduduk kampung pernah ke Klinik Jega untuk mendapatkan rawatan.
Proses pengagihan sumbangan berjalan lancar. Semua 50 buah keluarga mendapat sumbangan tersebut. Terpancar sinar kegembiraan di wajah penduduk kampung. Kedatangan Dr Jega ke kampung mereka telah tersebar cepat di media-media sosial di dalam facebook, group whatsap kerana mereka tidak sangka Dr Jega yang selama ini mereka hanya dengar telah datang ke kampung mereka. Saya selaku pengerusi NGO Hannan mencadangkan kepada Kelab Rotary dan Klinik Primer Cherang suatu hari boleh buat program kesihatan pascabanjir iaitu memberikan nasihat kesihatan selepas banjir dan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung.

Thursday, December 29, 2022

NGO Hannan bantu cuci rumah mangsa banjir

LUBOK JONG – Daerah Pasir Mas antara lokasi yang sering dilanda banjir saban tahun. Banjir 2014 telah banyak meninggalkan kesan kemusnahan yang masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Ia dianggap kejadian banjir terburuk dalam tempoh 40 tahun. Bayangkan hujan dan aliran sungai yang cepat mengalir dari kawasan hulu sehingga hampir sebahagian besar daerah dan bekalan elektirk terpaksa diputuskan. Suatu pengalaman yang kami sekeluarga rasai. Banjir kali ke dua bermula 18 Disember 2022 seakan-akan ‘bah kuning’ pada tahun 2022. Ia menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia ke 10 turun ke Lubok Jong, Pasir Mas meninjau keadaan banjir.
Sebuah ruamh di Prima Lubok Jong.
Di kawasan rumah saya Heritage Villa, paras air yang naik ke atas rumah lebih besar daripada 2014. Manakala di beberapa kampung di dalam daerah Pasir Mas seperti Kg Serungga air mencecah paras bumbung. Kawasan di sekitar Lubok Jong juga teruk dilanda banjir. Taman-taman perumahan berhampiran kompleks kerajaan di Lubok Jong antara yang teruk terjejas. Baru-baru ini NGO Hannan sempat membantu membersihkan dua buah rumah di sekitar taman perumahan di Prima. Saya selaku pengerusi NGO Hannan berbesar hati dapat membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka.
Keadaan banjir di rumah saya lebih besar dari tahun 2014. ‘Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’, begitulah boleh diibaratkan kepada mangsa-mangsa banjir. Di kawasan perumahan ini banjir menceceh paras kepala dan kebanyakkan barang rumah seperti perabot, peti ais, dapur gas, almari dan katil tidak dapat diselamatkan. Luluh hati melihat boleh dikatakan setiap rumah terdapat longgokan perabot tidak terggelam air dan tidak dapat digunakan lagi. Maka bermula episod baharu untuk membeli semula perkakasan rumah. Yang berduit boleh membelinya dengan kadar segera tapi yang tidak berduit entah berganti entah kan tidak. NGO Hannan masih kekurangan sukarelawan untuk melakukan kerja-kerja mencuci. Bagi satu rumah tenaga yagn diperlukan di antara 4 ke 5 orang. Peralatan untuk mencuci setakat ini masih lagi mencukupi cuma sukarelawan yang belum cukup. Kepada anak-anak muda di luar sana yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh terus hubungi saya di talian/whatsap 0189005722. Insya Allah apabila anda menjadi sukarelawan kelak anda akan dapat merasai sendiri kepuasan membantu orang-orang kampung.

Tuesday, December 27, 2022

Banjir hampir mencecah bumbung rumah

KG SERUNGGA – Hujan lebat yang turun tidak henti-henti hampir seminggu menyebabkan banjir besar di daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang. Keadaan banjir yang tidak terjangka oleh penduduk kampung. Pada tahun 2014 iaitu 8 tahun yang lalu banjir terburuk sejak 40 tahun dikenali sebagai ‘bah kuning’ telah melanda negeri Kelantan. Saya juga turut terkesan pada ketika itu dan paras air ketika banjir ini di dalam rumah lebih tinggi dari tahun 2014. Kami terpaksa naik ke tingkat atas dan apabila malam suasana sunyi sepi kerana penduduk kawasan perumahan di tepi jalan besar telah berpindah ke pusat pemindahan banjir. Kampung-kampung di dalam daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang paling banyak dinaiki air. Kg To’Deh, Kg Tersang dan Kg Lachang di Rantau Panjang sudah sinonim dengan banjir dan cukup terkenal seantaro Malaysia. Manakala di daerah Pasir Mas seperti Kg Serungga, Kg Jewawi dan Bongor antara lokasi yang sering dinaik air. Pada kali ini saya ingin menfokuskan kepada satu kelompok penduduk di Kg Serungga. Dimaklumkan Kg Serungga dibahagikan kepada bahagian hilir, hulu dan jatuh (istilah orang kampung). Sekumpulan NGO dari IRM bersama-sama saudara Ikmal telah masuk ke satu kumpulan penduduk di kampung itu yang belum lagi ada NGO lain yang sampai. Saya dimaklumkan di dalam media sosial supaya bantuan segera diberikan kepada kelompok penduduk tersebut. Maka, saudara Ikmal dan IRM bergegas keesokkan harinya masuk ke kampung tersebut dibantu oleh seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Nik.
Saudara Ikmal bersama-sama IRM mengagihkan sumbangan banjir di Kg Serungga. Saya dimaklumkan oleh saudara Ikmal keadaan di dalam kampung itu sangat mengharukan. Hampir setiap rumah paras air mencecah bumbung. Bayangkan pada ketika itu mereka bergerak ke pusat pemindahan banjir dalam keadaan rumah yang penuh dengan perabot dan barangan dapur yang tidak dapat diselamatkan. Musnah begitu sahaja peti ais, dapur dan mesin basuh. Namun begitu mereka sentiasa berhadapan dengan banjir ini hampir 2 ke 3 kali setahun. Sudah menjadi perkara biasa bagi mereka. Maka, bersyukur lah kita yang tidak diuji dengan musibah banjir yang besar seperti mereka.
IRM sedang mengagihkan bantuan banjir dan keadaan di dalam rumah seorang penduduk yang kosong tidak ada apa-apa perabot kerana rosak ditenggelami banjir. Justeru itu, kita hanya mampu membantu bagi meringankan beban mereka. Bak kata pepatah ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Sukar untuk digambarkan apabila setiap tahun mereka tahu akan kehilangan harta benda akibat banjir. Namun sebagai orang Islam mereka redha dan berserah kepada Allah SWT dan apajua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Terima kasih saudara Ikmal dan IRM kerana dengan izinNya dapat masuk ke kelompok penduduk di Kg Serungga yang belum ada lagi NGO yang masuk ke tempat itu. Wajah ceria dapat dilihat ketika mereka menerima sumbangan banjir. Semoga dengan berkat doa orang-orang kampung usaha ini akan dirahmati oleh Allah SWT. Amiin.

Warga guru prihatin bantu mangsa banjir

KG SERUNGGA – Banjir suatu fenomena alam yang tidak asing lagi bagi daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang. Negeri Kelantan yang tertelak di pantai timur semenanjung Malaysia terdedah kepada taburan hujan yang tinggi terutama ketika musim tengkujuh sekitar bulan November hingga Mac. Namun begitu sejak akhir-akhir ini banjir yang melanda daerah ini boleh dikatakan semakin besar dan amat menakutkan penduduk kampung. Banjir 2014 di Kelantan yang dikenali sebagai ‘bah kuning’ dikatakan antara terburuk dalam tempoh 40 tahun. Akan tetapi banjir kali ke dua pada hujung tahun 2022 dikatakan di sesetengah tempat lebih buruk dari tahun 2014. Daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang antara lokasi yang paling teruk dilanda banjir pada kali ini bermula pada 18hb Disember 2022. Hujan tanpa henti hampir seminggu telah meningkatkan paras sungai Lubok Jong dan sungai Golok iaitu dua sungai yang mengalir di kedua-dua daerah ini. Paras air begitu cepat naik dalam tempoh beberapa jam. Air mula naik di laluan Lubok Jong dan lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang. Di kawasan rumah saya Heritage Villa, paras air di dalam rumah sedalam 5 inci dan diluar rumah pada paras dada. Ukuran ini lebih besar jika dibandingkan dengan banjir 2014. Setiap kali banjir yang melanda, NGO dan orang perseorangan tanpa mengira ideologi politik cepat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Boleh dikatakan kampung-kampung sepanjang sungai Golok dan Lubok Jong ada yang tenggelam sehingga paras bumbung. Sukar untuk dibayangkan keadaan rumah dan orang kampung berpindah pada ketika itu. Antara kampung yang teruk terjejas ialah Kg Serungga yang terletak di dalam daerah Pasir Mas. Maka di atas dasar keprihatinan sekumpulan guru yang diketuai oleh Cikgu Hanapi seorang guru besar di Tanah Merah mengumpulkan dana dan menyalurkan bantuan kepada sebahagian penduduk kampung tersebut. Mereka bergerak dari Tanah Merah seawal 8.30 pagi dan sampai di perkampungan tersebut sekitar jam 9.45 pagi. Ketibaan mereka disambut baik oleh penduduk kampung walaupun mereka ketika itu sibuk membersihkan rumah masing-masing yang ditenggelami air hampir paras bumbung.
Cikgu Hanapi dan warga guru bersama-sama seorang penduduk kampung Serungga mengagihkan sumbangan. Seorang penduduk kampung Marina Musa nampak ceria ketika menerima sumbangan banjir daripada cikgu Hanapi dan rakan-rakan gurunya. Walaupun masih berduka kerana rumahnya ditenggelami banjir tetapi dengan sumbangan yang diberikan sekurang-kurangknya mengembalikan sedikit kecerian diwajahnya. Itulah kecaknaan warga pendidik di sekitar Tanah Merah sanggup turun ke lokasi kampung yang ditenggelami banjir.
Seorang warga emas iaitu 'Mok' meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada cikgu Hanapi dan rakan-rakan guru yang menghulurkan sumbangan kepada anak-beranaknya. ‘Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’ begitulah boleh diibaratkan keadaan mereka semasa dan selepas banjir. Semasa banjir mereka merendah air ke pusat pemindahan tanpa dapat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah dan selepas banjir pula mereka kehilangan kenderaan seperti kereta dan motor yang ditenggelami air. Manakan terfikir untuk menyelamatkan harta benda takkala nyawa perlu diselamatkan. Hanya berserah dan tawakkal kepada Allah SWT.
Dapur habis tenggelam dan di ruang tamu paras air melebihi paras dada. Alhamdulillah sumbangan telah diagihkan kepada penduduk kampung. Nilai sumbangan itu bukan ukuran tetapi yang lebih penting adalah keperihatinan dan kecaknaan kepada mangsa-mangsa banjir. Saya Khun Matt (คุณแมท) mewakili penduduk Kg Serungga mengucapkan jutaan terima kasih kepada cikgu Hanapi dan rakan-rakan gurunya di atas sumbangan yang telah diberikan kepada penduduk kampung.