KG TOK SANGKUT – “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, begitulah diibaratkan takkala bencana banjir yang berlaku di Kg Tok Sangkut dan Kg Tok Derpah pada 28 Februari 2022. Namun begitu banjir kali ini bukanlah banjir biasa tetapi dianggap oleh penduduk kampung banjir yang besar sejak beberapa dekad yang lalu. Manakan tidak, kawasan yang agak tinggi di Kg Tok Sangkut dari kawasan sekolah hingga ke rumah arwah Kak Pah juga dinaiki air setinggi paras paha. Keadaan ini benar-benar mengejutkan penduduk kampung kerana air mula naik seawal pagi dengan begitu cepat sekali sehingga ke cabang tiga Kg Tasek Berangan yang tidak pernah dinaiki air.
Gambar daripada Alumni. Cikgu Hj Adnan sedang membantu pemindahanmangsa banjir di PPS SK Tok Sangkut.
Hujan tanpa henti beberapa hari di luar musim tengkujuh tidak dianggap akan berlaku banjir yang sebegitu besar di Kg Tok Sangkut. Namun keadaan lain pula jadinya. Kedengaran beberapa buah kampung telah pun dinaiki air seperti Kg Tersang, Kg Gual To’Deh dan Kg Lancang. Jika dilihat dari segi topografinya Kg Tok Sangkut agak jauh dari Sg Golok jika dibandingkan dengan ketiga-tiga kempung itu. Ketika saya menulis artikel ini, keadaan kampung masih lagi digenangi air dan ramai lagi masih berada di PPS SK Tok Sangkut.
Sebagai makluman, SK Tok Sangkut adalah satu-satunya pusat pemindahan
banjir bagi bebeberapa buah kampung seperti Kg Tok Derpah, Kg Jejawi dan Kg
Lubok Batil. Lokasi ini bermula dari hadapan sekolah hingga ke kawasan Masjid
Al-Falah tidak pernah dinaiki air. Namun begitu banjir kali ini seluruh Kg Tok
Sangkut dinaiki air termasuklah kawasan sekolah dinaiki air makanya mangsa
banjir terpaksa dipindahkan ke tingkat atas. Saya difahamkan sekarang ini
Madrasah Hj Hassan juga digunakan sebagai tempat pemindahan mangsa banjir.
Menurut seorang penduduk di sebelah hujung Kg Tok Sangkut, sekitar rumah
arwah Pakcik Man paras air setakat leher dan kali ini air telah masuk ke atas
rumah yang menunjukkkan air lebih tinggi jika dibandingkan dengan banjir tahun
2014. Video banjir besar di Kg Tok Sangkut 2022 anda boleh saksikan di dalam
channel saya Mr Kopikarat.
Jalan masuk ke Kg Tok Sangkut ketika banjir hanya boleh dilalui oleh bot
dan kenderaan kecil terputus hubungan. Namun begitu usaha-usaha membantu
mangsa-mangsa banjir telah dilakukan dengan cepat oleh pihak berwajib ke PPS
yang disediakan. Penduduk kampung juga saling bantu-membantu antara satu sama
lain bagi memastikan mangsa banjir sampai ke lokasi PPS dengan selamat. Di sini
saya ingin merakam terima kasih dan amat berbangga dengan kepantasan Alumni
SKTS yang diterajui oleh Cikgu Hj Adnan dan ahli-ahli yang tanpa henti
menyalurkan info terkini dan menghubungi pihak-pihak berwajib untuk membantu
mangsa-mangsa banjir.
Bencana banjir di Kg Tok Sangkut kali ini adalah yang terbesar sejak
beberapa dekad yang lalu. Rumah yang belum pernah dinaiki air terutamanya
diluar sekitar masjid dan sekolah juga turut dinaiki air. Mereka hanya sempat
menyelamatkan barang-barang penting sahaja yang lainnya dibiarkan begitu sahaja
kerana air naik begitu cepat di awal pagi. Banyak kenderaan yang telah
tenggelam yang diletakkan disepanjang jalan. Semoga penduduk kampung bersabar
dengan ujian dari Allah swt dan menerima musibah ini dengan tenang dan penuh
keredhaan.
Amiin.
No comments:
Post a Comment