KG TOK DERPAH – “Berat
mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”, namun pasangan ini tidak
pernah mengeluh menjaga seorang anak istimewa sejak hampir 25 tahun yang lalu.
Inilah suatu kisah pengorbanan sejati ibubapa. Ujian yang diberikan oleh Allah
swt pastinya ada hikmah.
Setiap manusia akan diuji oleh Allah SWT mengikut
kadar keimanan dan kemampuan mereka agar mereka sentiasa mengingati Allah SWT
sepertimana firmah Allah SWT dalam Surah al-Anbiya, 35 maksudnya: Kami menguji kamu dengan kesusahan dan
kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah semua akan dikembalikan.
Pada petang yang penuh barokah hari Jumaat, saya bersama-sama
Persatuan Belia Prihatin diketuai oleh saudara Bilal Malaya a.k.a Pengerusi PBP
sempat menziarahi satu keluarga yang hebat. Kenapa saya berkata
begitu..sebabnya tidak semua orang diberikan ujian seberat itu dari Allah SWT.
Hanya mereka terpilih sahaja yang mampu mengharungi segala dugaan ini. Saya
pasti keluarga ini redha dengan ketentuan Allah SWT menjaga anak mereka yang
terlantar sejak lebih 2 dekad yang lalu.
Demam panas ketika usia 6 bulan rupa-rupanya merubah
sama sekali kehidupan anak ini. Namun walau apapun keadaannya, ibubapa sentiasa
menjaga anak ini seperti anak-anak yang lain.
“Subhanallah..sukar
untuk saya meneruskan artikel ini kerana kadang-kala kita merasa susah tetapi
ada lagi orang-orang yang lebih sudah dari kita”.
Bersama-sama Persatuan Belia Prihatin menziarahi adik Syafiq di Kg Tok Derpah. |
Kepada yang membaca artikel ini, ketahuilah bahawa
pengorbanan ibubapa tidak ada tolok bandingnya. Bayangkan sejak 25 tahun yang
lalu, menjaga anak istimewa, dengan penuh hati yang ikhlas, dengan segala
keringat yang ada, dengan kemampuan yang terbatas. Namun perhatian yang
sepenuhnya tetap diberikan kepada anak istimewa ini. Hikmah Allah SWT, walaupun
sesusah mana menjalani kehidupan akan tetapi masih ada bantuan-bantuan yang
datang menghulur bantuan kepada adik Syafiq. Inilah keberkatan dan rahmat dari
Allah SWT.
Saudara Bilal Malaya a.k.a Pengerusi PBP begitu prihatin terhadap isu-isu dalam masyarakat. Adik Syafiq semoga terus dirahmati oleh Allah SWT. |
Menurut bapanya, Syafiq seorang anak yang baik,
makananya hanyalah susu sejak dahulu lagi. Makan pakai dijaga rapi oleh kedua-dua
pasangan ini. Diurus anak mereka sebaik mungkin. Lihat betapa tabahnya pasangan
ini. Tidak kira siang malam, mereka memberi sepenuh kasih sayang.
Suatu masa ketika banjir 2014, ayahnya memberitahu saya mereka terpaksa
berpindah ke pusat pemindahan. Agak jauh. Dia menggendong anaknya berjalan kaki
ke sekolah berdekatan. Pada ketika itu kenderaan tidak dapat masuk ke rumah
mereka. Saya tidak dapatkan bayang keadaan pada masa itu.
Wahai anak-anak di luar sana, lihatlah betapa besar
pengorbanan insan bergelar ibu dan bapa. Mampukah kita sebagai anak-anak untuk
berkata ‘tidak’, ‘malas, ‘benci’ setiap kali disuruh atau dinasihat oleh
ibubapa. Fikir-fikirkanlah. Saya berharap artikel ini dibaca oleh anak-anak di
luar sana. Berlapang dadalah untuk terus menjaga ibubapa di dalam apajua
keadaan pun kerana orang lain tidak boleh menggantikan tempat kedua-dua ibubapa
kita.
Kepada keluarga ini, saya dan persatuan mendoakan
kesejahteraan dan dirahmati oleh Allah SWT. Saya berasa amat sedih kerana saya
sudah tidak ada lagi kedua-dua ibubapa untuk berbakti hanya doa mengiringi
kedua-dua arwah. Bacaan Al-Fatihah untuk kedua-dua arwah ibubapa saya iaitu:
- Othman Bin Yunus (pakcik man pencen) meninggal pada April 2019
- Che Zaharah Bt Isa (mokcik) meninggal pada September 2015.