Friday, December 27, 2019

Kisah pengorbanan ibubapa


KG TOK DERPAH – “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”, namun pasangan ini tidak pernah mengeluh menjaga seorang anak istimewa sejak hampir 25 tahun yang lalu. Inilah suatu kisah pengorbanan sejati ibubapa. Ujian yang diberikan oleh Allah swt pastinya ada hikmah.

Setiap manusia akan diuji oleh Allah SWT mengikut kadar keimanan dan kemampuan mereka agar mereka sentiasa mengingati Allah SWT sepertimana firmah Allah SWT dalam Surah al-Anbiya, 35 maksudnya: Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah semua akan dikembalikan.

Pada petang yang penuh barokah hari Jumaat, saya bersama-sama Persatuan Belia Prihatin diketuai oleh saudara Bilal Malaya a.k.a Pengerusi PBP sempat menziarahi satu keluarga yang hebat. Kenapa saya berkata begitu..sebabnya tidak semua orang diberikan ujian seberat itu dari Allah SWT. Hanya mereka terpilih sahaja yang mampu mengharungi segala dugaan ini. Saya pasti keluarga ini redha dengan ketentuan Allah SWT menjaga anak mereka yang terlantar sejak lebih 2 dekad yang lalu.

Demam panas ketika usia 6 bulan rupa-rupanya merubah sama sekali kehidupan anak ini. Namun walau apapun keadaannya, ibubapa sentiasa menjaga anak ini seperti anak-anak yang lain.

“Subhanallah..sukar untuk saya meneruskan artikel ini kerana kadang-kala kita merasa susah tetapi ada lagi orang-orang yang lebih sudah dari kita”.
Bersama-sama Persatuan Belia Prihatin menziarahi adik Syafiq di Kg Tok Derpah. 
Kepada yang membaca artikel ini, ketahuilah bahawa pengorbanan ibubapa tidak ada tolok bandingnya. Bayangkan sejak 25 tahun yang lalu, menjaga anak istimewa, dengan penuh hati yang ikhlas, dengan segala keringat yang ada, dengan kemampuan yang terbatas. Namun perhatian yang sepenuhnya tetap diberikan kepada anak istimewa ini. Hikmah Allah SWT, walaupun sesusah mana menjalani kehidupan akan tetapi masih ada bantuan-bantuan yang datang menghulur bantuan kepada adik Syafiq. Inilah keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.

Saudara Bilal Malaya a.k.a Pengerusi PBP begitu prihatin terhadap isu-isu dalam masyarakat. Adik Syafiq semoga terus dirahmati oleh Allah SWT.
Menurut bapanya, Syafiq seorang anak yang baik, makananya hanyalah susu sejak dahulu lagi. Makan pakai dijaga rapi oleh kedua-dua pasangan ini. Diurus anak mereka sebaik mungkin. Lihat betapa tabahnya pasangan ini. Tidak kira siang malam, mereka memberi sepenuh kasih sayang. Suatu masa ketika banjir 2014, ayahnya memberitahu saya mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan. Agak jauh. Dia menggendong anaknya berjalan kaki ke sekolah berdekatan. Pada ketika itu kenderaan tidak dapat masuk ke rumah mereka. Saya tidak dapatkan bayang keadaan pada masa itu.

Wahai anak-anak di luar sana, lihatlah betapa besar pengorbanan insan bergelar ibu dan bapa. Mampukah kita sebagai anak-anak untuk berkata ‘tidak’, ‘malas, ‘benci’ setiap kali disuruh atau dinasihat oleh ibubapa. Fikir-fikirkanlah. Saya berharap artikel ini dibaca oleh anak-anak di luar sana. Berlapang dadalah untuk terus menjaga ibubapa di dalam apajua keadaan pun kerana orang lain tidak boleh menggantikan tempat kedua-dua ibubapa kita.

Kepada keluarga ini, saya dan persatuan mendoakan kesejahteraan dan dirahmati oleh Allah SWT. Saya berasa amat sedih kerana saya sudah tidak ada lagi kedua-dua ibubapa untuk berbakti hanya doa mengiringi kedua-dua arwah. Bacaan Al-Fatihah untuk kedua-dua arwah ibubapa saya iaitu:
  1. Othman Bin Yunus (pakcik man pencen) meninggal pada April 2019
  2. Che Zaharah Bt Isa (mokcik) meninggal pada September 2015.





No comments:

Post a Comment