Sunday, March 6, 2022

Selebriti Ardell Aryana redah banjir di Kg Tok Sangkut

 KG TOK SANGKUT – Pada awalnya saya sendiri tidak menyangka kehadiran seorang selebriti ke Kg Tok Sangkut bersama-sama misi bantuan kepada mangsa banjir. Pada awalnya saya hanya membantu seorang rakan minta saya membawa satu pasukan bantuan banjir ke Pantai Timur. Saya hanya setuju dan akhirnya saya sebagai pengerusi NGO Hannan hampir separuh hari baru menyedari kehadiran seorang selebriti iaitu Ardell Aryana bersama-sama team Ayerspot.

Ardell Aryana, Tema Ayerspot & Ngo Hannan ketika misi bantuan banjir di Kg Tok Sangkut.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul”, begitulah boleh saya gambarkan keadaan di dalam Kg Tok Sangkut terutama di hujung kampung sekiatar rumah arwah Ayah dan Ibu saya. Kebiasaannya paras air di kawasan ini paras pinggang atau 3 anak tangga akan tetapi banjir secara mengejut dan air yang deras telah mencapai paras leher pada 28 Februari 2022. Makanya rumah arwah pun telah dinaiki dan barang-barang di atas rumah semuanya rosak.

Hampir keseluruhan penduduk Kg Tok Sangkut dinaiki air seawal pagi dengan begitu cepat sehingga orang kampung tidak dapat mengalihkan kenderaan mereka ke tempat yang lebih tinggi. Untuk makluman, kawasan yang lebih tinggi di kampung ini adalah di kawasan masjid, sekolah dan sekitar rumah arwah Kak Pah. Namun banjir kali ini ketiga-tiga tempat ini juga dinaiki air sedapam hampir paras paha. Bayangkan jika kawasan di luar yang agak tinggi juga tenggelam, maka kawasan rendah di hujung-hujung kampung akan turut ditenggelami air.

Ujian besar buat penduduk Kg Tok Sangkut dan kampung-kampung yang berdekatan terutamanya di sekitar Sg Golok, Thailand. Di sana keadaan dalam kampung sangat memilukan seperti rempuhan tsunami yang besar. Subhanallah bersabarlah wahai orang-orang kampung pastinya apa yang berlaku akan ada hikmahnya.

Beberapa hari kampung ditenggelami air, bantuan mula sampai dari pelusuk negeri ke Kg Tok Sangkut. Antara yang tiba awal ketika kampung masih lagi tenggelam ialah selebriti Ardell Aryana dan Team Ayerspot dari Kuala Lumpur. Ardell Aryana dapat melihat sendiri keadaan di dalam kampung yang masih ditenggelami dan bertemu dengan penduduk kampung. Beliau bertanya khabar penduduk kampung tentang kejadian banjir yang besar ini. Syabas saya sebagai pengerusi NGO Hannan kepada Ardell Aryana dan Team Ayerspot kerana diberikan kesempatan oleh Allah swt untuk membantu penduduk kampung di sini.

Misi bantuan akan tetap diteruskan walaupun misi bantuan Ardell Aryana dan Tea Ayerspot selesai di Kg Tok Sangkut. Perjuangan belum lagi selesai bagi penduduk kampung ini. Team NGO Hannan pula mengambil alih tugas membersih kawasan yang difikirkan perlu diutamakan seperti sekolah, masjid dan rumah-rumah orang tua. Dengan hanya beberapa orang ahli, Alhamdulillah team NGO Hannan juga telah menyelesaikan misi membersihkan rumah-rumah terkesan banjir di beberapa lokasi. Kita masih memerlukan lebih ramai sukarelawan yang berminat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan rumah-rumah yang terkesan banjir. Mustahil bagi kita untuk membersihkan setiap rumah di Kg Tok Sangkut akan tetapi rumah-ruamh terpilih telah melegakan pemilik rumah tersebut. Oleh itu saya menyeru anak-anak muda di dalam kampung yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh menghubungi saya terus di talian.whatsap 0189005722 atau email ke kafekopikarat@gmail.com.

 Amiin.

 Galeri Misi Bantuan Banjir Team Ayerspot & Ardell Aryana

(akan diupload sedikit masa lagi)


Saturday, March 5, 2022

IKTBN Bachok mengadakan servis motosikal percuma

KG TOK SANGKUT – Banjir dua atau tiga kali setahun bukanlah suatu perkara luarbiasa yang berlaku di kampung ini. Hampir setiap tahun akan berlaku banjir. Banjir akhir tahun 2021 dianggap yang terbesar. Namun kejadian banjir bermula 26 sehingga 28 Februari 2022 melebihi banjir tahun lepas dan dianggap yang paling buruk sejak beberapa dekad yang lalu.

Pelbagai agensi mula memasuki kawasan Kg Tok Sangkut takkala berita banjir yang luarbiasa tersebar di media-media sosial. Badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan selebriti juga turut hadir membantu meringankan beban masyakarat kampung. Antara selebriti yang hadir menghulurkan bantuan ialah Ardell Aryana yang membawa 2 buah bot masuk ke kawasan kampung bertemu dengan penduduk kampung.

Pagi ini pula IKTBN Bachok berlapang dada datang ke Kg Tok Sangkut mengadakan Program Khidmat Bantu Servis Motosikal Percuma yang diadakan di hadapan Madrasah Hj Hassan bertentangan dengan SK Tok Sangkut. Suatu berita gembira bagi penduduk kampung dan kawasan sekitar yang terjejas banjir. Banyak harta benda mereka musnah termasuklah kenderaan yang tekah menghadkan pergerakan mereka untuk mula bekerja. Namun dengan kehadiran ITKBN dan para pelajar ini, penduduk kampung boleh baiki motosikal mereka secara percuma.

Ketika saya sampai di khemah IKTBN, orang ramai datang berpusu-pusu dengan kenderaan masing-masing untuk dibaiki terutamanya menukar minyak hitam selepas motosikal ditenggelami air. Khidmat masyarakat ini amat diharapkan oleh penduduk kampung takkala mereka masih lagi bersedih ditimpa banjir yang dianggap paling besar sejak beberapa dekad yang lalu. Manakan tidak, ada sesetangah kawasan kampung air mencecah paras leher.

Saya sempat berbual-bual dengan wakil IKTBN di mana program disertai juga oleh ILP Kota Bharu dengan kerjasama Pejabat Parlimen Pasir Mas dan YADIM Kelantan. Kecaknaan agensi kerajaan dan bukan kerajaan sangat-sangat diperlukan buat masa sekarang. Hampir keseluruhan masyarakat kampung terkesan akibat banjir. Hampir seluruh bumi Kg Tok Sangkut dinaiki air. Penduduk Kg Tok Sangkut juga bersedih di atas kematian seorang remaja yang lemas beberapa hari yang lalu.

Saya mewakili penduduk Kg Tok Sangkut mengucapkan jutaan terima kasih kepada IKTBN Bachok di atas kesudian mengadakan program yang sangat diharapkan oleh mangsa-mangsa banjir di sini.

 

Amiin.

 

Tuesday, March 1, 2022

Banjir Luarbiasa Di Kg Tok Sangkut

KG TOK SANGKUT – “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, begitulah diibaratkan takkala bencana banjir yang berlaku di Kg Tok Sangkut dan Kg Tok Derpah pada 28 Februari 2022. Namun begitu banjir kali ini bukanlah banjir biasa tetapi dianggap oleh penduduk kampung banjir yang besar sejak beberapa dekad yang lalu. Manakan tidak, kawasan yang agak tinggi di Kg Tok Sangkut dari kawasan sekolah hingga ke rumah arwah Kak Pah juga dinaiki air setinggi paras paha. Keadaan ini benar-benar mengejutkan penduduk kampung kerana air mula naik seawal pagi dengan begitu cepat sekali sehingga ke cabang tiga Kg Tasek Berangan yang tidak pernah dinaiki air.

                                      Gambar daripada Alumni. Cikgu Hj Adnan sedang membantu pemindahan  

                                              mangsa banjir di PPS SK Tok Sangkut.

Hujan tanpa henti beberapa hari di luar musim tengkujuh tidak dianggap akan berlaku banjir yang sebegitu besar di Kg Tok Sangkut. Namun keadaan lain pula jadinya. Kedengaran beberapa buah kampung telah pun dinaiki air seperti Kg Tersang, Kg Gual To’Deh dan Kg Lancang. Jika dilihat dari segi topografinya Kg Tok Sangkut agak jauh dari Sg Golok jika dibandingkan dengan ketiga-tiga kempung itu. Ketika saya menulis artikel ini, keadaan kampung masih lagi digenangi air dan ramai lagi masih berada di PPS SK Tok Sangkut.

Sebagai makluman, SK Tok Sangkut adalah satu-satunya pusat pemindahan banjir bagi bebeberapa buah kampung seperti Kg Tok Derpah, Kg Jejawi dan Kg Lubok Batil. Lokasi ini bermula dari hadapan sekolah hingga ke kawasan Masjid Al-Falah tidak pernah dinaiki air. Namun begitu banjir kali ini seluruh Kg Tok Sangkut dinaiki air termasuklah kawasan sekolah dinaiki air makanya mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke tingkat atas. Saya difahamkan sekarang ini Madrasah Hj Hassan juga digunakan sebagai tempat pemindahan mangsa banjir.

Menurut seorang penduduk di sebelah hujung Kg Tok Sangkut, sekitar rumah arwah Pakcik Man paras air setakat leher dan kali ini air telah masuk ke atas rumah yang menunjukkkan air lebih tinggi jika dibandingkan dengan banjir tahun 2014. Video banjir besar di Kg Tok Sangkut 2022 anda boleh saksikan di dalam channel saya Mr Kopikarat.

Jalan masuk ke Kg Tok Sangkut ketika banjir hanya boleh dilalui oleh bot dan kenderaan kecil terputus hubungan. Namun begitu usaha-usaha membantu mangsa-mangsa banjir telah dilakukan dengan cepat oleh pihak berwajib ke PPS yang disediakan. Penduduk kampung juga saling bantu-membantu antara satu sama lain bagi memastikan mangsa banjir sampai ke lokasi PPS dengan selamat. Di sini saya ingin merakam terima kasih dan amat berbangga dengan kepantasan Alumni SKTS yang diterajui oleh Cikgu Hj Adnan dan ahli-ahli yang tanpa henti menyalurkan info terkini dan menghubungi pihak-pihak berwajib untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Bencana banjir di Kg Tok Sangkut kali ini adalah yang terbesar sejak beberapa dekad yang lalu. Rumah yang belum pernah dinaiki air terutamanya diluar sekitar masjid dan sekolah juga turut dinaiki air. Mereka hanya sempat menyelamatkan barang-barang penting sahaja yang lainnya dibiarkan begitu sahaja kerana air naik begitu cepat di awal pagi. Banyak kenderaan yang telah tenggelam yang diletakkan disepanjang jalan. Semoga penduduk kampung bersabar dengan ujian dari Allah swt dan menerima musibah ini dengan tenang dan penuh keredhaan.

Amiin.

 Galeri banjir besar di Kg Tok Sangkut 2022.















Monday, January 10, 2022

Pendidikan Di Alaf Baharu a.k.a Covid19

LUBOK JONG - Sesi persekolahan telah bermula. Raut wajah cikgu-cikgu ceria apatah lagi murid-murid lebih-lebih lagi ceria kerana dapat kembali ke sekolah sejak sesi persekolahan di tutup sebanyak 2 kali ssepanjang menularan Covid19 sekitar bulan Mac 2019. Kini telah ramai yang tewas akibat pandemik ini dan masih ada yang sedang bertarung nyawa entah berjaya entahkan tidak. Itu semua takdir dari Allah swt.

Sejak penularan Covid19, pembelajaran dan pengajaran telah sama sekali berubah. Perubahan yang sama sekali tidak kita jangkakan. Bukan tempoh singkat tetapi mengambil masa hampir 2 tahun. Murid-murid belajar secara 'online' atau dikenali sebagai Pdpr. Malah ibubapa di kampung sudah tahu apa itu Pdpr dek kerana melayan anak-anak dan tidak kurang juga berebut telefon dengan anak-anak untuk mendapatkan capaian internet. Itulah ragam sepanjang proses Pdpr yang sungguh mencabar walaupun dilihat kaedah yang terbaik pembelajaran di alaf baharu.

Disebalik yang berlaku ada hikmahnya. Kalau dahulu ada segelintir ibubapa yang tersangat sensitif takkala cikgu-cikgu merotan murid-murid, laporan segera dibuat ke jabatan atau dipos ke dalam media sosial mengecam tindakan guru menghukum murid-murid. Akhirnya Allah swt telah menukarkan 360 darjah peranan ibubapa kini menjadi guru di rumah. Tidak sampai 5 minit sahaja buku-buku teks melayang dan anak-anak ditengking. Bab kata pepatah 'Kau rasa apa yang aku rasa'. Akhirnya mereka akur bukan mudah untuk menjadi cikgu mengawal kelas yang terdiri daripada lebih 25 orang murid. Itu baru anak sendiri 2 atau 3 orang sudah hilang sabar.


Apapun yang berlaku kehidupan harus diteruskan. Jika tidak maka kita akan terus ketinggalan. Tidak dapat dinafikan prestasi murid-murid ketika Pdpr tidak seperti pembelajaran bersemuka yang lebih berkesan. Justeru itu, dengan peluang yang ada ini, semua pihak terutamanya cikgu-cikgu dapat memberikan 100% komitmen kepada murid-murid yang telah lama dahagakan kasih-sayang dan tunjuk ajar dari insan yang bergelar CIKGU. 


ขอบคุณคุณครู
Sekadar coretan ringkas dari Mr Kopikarat.
Msc UUM, Sintok, Kedah.



Thursday, August 5, 2021

Lemang Nogori Lubok Jong Tersohor: 11 tahun bakar lemang

LUBOK JONG – Siapa tidak kenal Lemang Nogori Lubok Jong kalau betul-betul tinggal di sekitar Lubok Jong kerana lokasi yang strategik di antara Pasir Mas dan Rantau Panjang. Bermula dari satu cetusan idea yang boleh dijadikan inspirasi kepada yang ingin berniaga. Bakar lemang kira-kira 11 tahun dahulu hanya sekadar untuk keluarga, tidak disangka-sangka orang ramai minta dia jual lemang.

Pengusaha Lemang Nogori Lubok Jong sedang membakar lemang yang di tempah oleh pelanggan dan yang akan dijual di gerainya di tepi jalan. Kredit gambar Mr Kopikarat.

Seorang pemuda yang berasal dari Seremban, Negeri 9 berhijrah ke negeri Kelantan kira-kira lebih 10 tahun yang lalu. Pada ketika itu dia melakukan beberapa pekerjaan demi menyara sebuah keluarga yang baru dibina ketika itu. Daripada seorang pekerja di kedai hardware kini bergelar tauke lemang tersohor di negeri Kelantan khususnya di sekitar Pasir Mas.

Pada awalnya, dia membakar lemang ketika musim-musim perayaan kerana pada ketika itu sambutan tinggi. Di Kelantan, pada ketika itu tidak ramai pengusaha lemang jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti N9 dan Pahang. Makanya, lemang akan mudah dibeli hanya ketika musim perayaan. Namun keadaan semakin berubah. Permintaan ke atas lemang tidak mengira musim. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja permintaan lemang dan beliau selalu menerima tempahan walaupun kurang daripada 50 batang. Beliau sekali-kali tidak mahu menghampakan pelanggannya yang sentiasa menanti lemang originalnya itu.

Proses membuat lemang sangat unik dan lama. Bahan-bahan perlu disiapkan seawal pagi sebelum boleh dimasukkan ke dalam buluh seawall pukul 8.30 pagi dan mula dibakar sekiatar pukul 9.00 pagi. Bakar lemang bukan seperti bakar ikan. Api perlu dijaga agar buluh lemang tidak hangus. Buluh lemang pula ‘special’. Tidak boleh digunakan buluh biasa yang kita lihat di tepi-tepi rumah. Buluh ini kecil dan nipis dikenali sebagai buluh tebu. Dia memanjat sendiri bukit mencari buluh sekitar Dabong. Di kawasan Pasir Mas tidak terdapat buluh jenis itu. Proses membakar lemang mengambil masa selama 5 jam. Makanya kalau mula dibakar sekitar jam 9 pagi, lemang akan masak sekitar jam 2 petang.

Saya sempat singgah di lokasi penyediaan lemang di hadapan rumahnya. Kawasan kampung di tepi Sg Lubok Jong. Suasana kampung di kelilingi pokok-pokok rambutan yang berbuah lebat dan ada pokok petai sedang meranum. Suasana kampung yang menyerlahkan lagi keenakan lemang Nogori ini. Pastinya dibuat mengikut resipi tradisi dari Negeri 9. Makannya, tidak perlu ke N9 hatta ingin merasa lemang dan rendang Minang. Telah tersedia di Lubok Jong.

Kepada sesiapa sahaja yang teringin merasai lemang Nogori, telefon atau whatsap sahaja beliau untuk COD atau datang sendiri ke gerainya di tepi jalan lebuhraya Pasir Mas – Rantau Panjang di talian/whatsap 017-9121585.

Lihat video jalan-jalan cari makan saya ke Lemang Nogori Lubok Jong di channel Mr Kopikarat.

Tuesday, August 3, 2021

Ribut kencang di Repek, pokok saiz balak tumbang ke atas sebuah rumah, penghuni trauma.

 

KG REPEK – “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Hujan lebat pada sebelah petang bukanlah hujan biasa tetapi hujan lebat bersama-sama ribut kencang yang di alami oleh penduduk kampung di sekitar Pasir Mas dan Kampung Repek antara yang terjejas. Masih trauma dan ketakutan akibat kejadian itu, ahli keluarga ini hanya mampu bersabar dan tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

Setiap kali hujan, hatinya berdebar-debar dan pandangan mata hanya tertumpu kepada sebatang pokok besar yang berada di sebelah rumahnya. Hati mana tidak pilu takkala hujan dan ribut melihat pokok itu terhayung-hayung menanti masa dan ketika untuk tumbang. Sebelum ini sebatang pokok telah tumbang dan terkena tandas belakang rumahnya.

Bilal Malaya a.k.a Hamdan Mat berdiri di hadapan pokok bersaiz balak yang tumbang ke atas rumahnya ketika hujan lebat dan ribut yang berlaku sekitar pukul 5.30 petang. Kredit gambar oleh Mr Kopikarat.

Sejak seminggu yang lalu, hujan sering berlaku pada sebelah petang. Akan tetapi semalam hujan lebat itu berlaku sekali dengan ribut yang kuat. Sepanjang saya ke rumah beliau, saya dapat lihat beberapa laluan pokok dan dahan yang sudah dibersihkan di tepi-tepi jalan. Khabarnya hujan dan ribut juga berlaku sekitar Pohon Tanjung dan beberapa kampung lagi. Sekitar Lubok Jong hanya hujan lebat. Apa yang bermain di fikirannya selama ini akhir terjadi. Petang itu hujan sangat lebat. Menurut isterinya, mereka berkumpul di bahagian dapur berharap pokok itu sekiranya tumbang tidak kena bahagian dapur. Sebaliknya pokok itu tumbang betul-betul bahagian bucu dapur. Dia yang memegang erat cucunya terus lari menyelamatkan diri. Dia bercerita dalam keadaan yang masih takut dan trauma. Bayangkan ketika itu sedang memeluk erat cucunya.

Sebaik hujan dan ribut reda, kami sekeluarga berasa selamat dan melihat keadaan di sekitar dan dalam rumah. Sebuah bilik yang mana bumbung atas perlu ditukar sama sekali kerana keadaan yang tidak selamat. Pihak bomba juga memaklumkan keadaan bumbung yang tidak begitu selamat kerana kerangka rumah yang retak akibat dihempap batang pokok itu. Bahagian bucu dapur juga mengalami kerosakan.

Alhamdulillah sejurus keadaan selamat, orang-orang berdekatan dan pihak bomba datang membantu mengalihkan pokok besar itu. Sekiranya hujan pastinya kawasan rumah akan digenangi air hujan. Struktur asas yang rosak dan bumbung perlu diperbaiki secepat mungkin. Saya menyeru masyarakat dan netizen di luar sana berlapang dada untuk membantu saudara kita Bilal Malaya ini supaya keluarganya kembali ceria apatah lagi cucunya yang masih kecil itu. Semoga usaha kita membantu beliau dapat disegerakan.

Sebarang bantuan sila hubungi terus Bilal Malaya di talian 013-9496174


Kisah ini di youtube Mr Kopikarat

Monday, August 2, 2021

Usia melebihi 1 abad, Selamah Bt Chik masih ingat kisah lari dari tentera Jepun

KG SIRAM – Rumah kayu, lantai jarang, dinding kayu dan alang kayu yang dicari dari hutan, sungguh menggamit kenangan aku sama seperti rumah arwah nenekku. Ada rak lantainya jarang-jarang untuk tempat pinggan-mangkuk, ada saji dan pelbagai lagi elemen-elemen yang mengimbau kenangan aku zaman dahulu. Di sinilah seorang nenek yang berusia lebih satu abad tinggal bersama-sama anak dan cucunya. Beliau ialah Selamah Bt Chik, panggilan ‘mak’ buat aku terkedu seketika takkala melihat raut wajahnya yang ceria seperti arwah nenekku. Berbahagialah anak-anak dan titih yang masih lagi mempunyai moyang ini. Sekali-sekala pulang ke kampung masih dapat lagi mendengar cerita-cerita kisah hidupnya.

Selamah Bt Chik duduk ditepi pintu ketika ditemubual tentang pengalamannya semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu. 

Kredit gambar Mr Kopikarat.

Mak masih sihat. Tubuh badan masih sihat. Masih boleh berjalan keluar dari biliknya ke ruang tamu dan dapur. Pertuturannya masih jelas. Tidak tersekat-sekat takkala aku bertanyakan soalan tentangnya. Ceria wajah mak. Mak akan lebih ceria bila perbualan ini di’upload’ ke youtube. Maka, anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit dapat melihat titih mereka bagi mengubat kerinduan apatah lagi di musim pandemik ketika ini yang sukar dibayangkan.

Menurut seorang cicitnya, mak sudah berusia sekitar 127 tahun. Umur lebih satu abad. Banyak pengalaman pahit dan manis dilaluinya. Mak melalui zaman-zaman era sebelum, semasa dan selepas penjahajan Jepun. Pengalaman yang tidak boleh dibuat-buat tanpa merasai sendiri pahit getir kehidupan ketika itu. Titih-titihnya yang dilahirkan selepas 1957 pastinya tidak melalui zaman susah ini dan hanya mendengar dari cerita-cerita nenek mereka ketika pulang ke kampung.

Mak lari ke negara jiran selama 6 bulan saat Jepun menjajah Tanah Melayu. Kampung halaman dan harta benda terpaksa ditinggalkan demi menyelamatkan nyawa. Ketika kedatangan Jepun orang-orang kampung sangat takut. Rumah-rumah kampung akan digali satu ruang di bawah tanah untuk bersembunyi dari tentera Jepun. Gelap dalam itu. Makan malam kena awal sebab pada waktu malam tidak lagi pasang lampu takut tentera Jepun datang. Di tempatnya keadaan tidak begitu meruncing kerana kawasannya dikawal oleh tentera Punjabi dari India. Jarang-jarang sekali tentera Jepun masuk ke kawasan ini tetapi mak pernah bertemu dengan tentera Jepun.

Mak seperti orang kampung ketika itu menaman padi. Pelihara kerbau untuk membajak. Padi pula selepas dituai akan disimpan di dalam baloh. Masa itu padi tumbuk. Tanam padi untuk simpanan dan di makan sehinggalah tiba musim menanam padi musim akan datang. Ubi kayu itu makanan harian. Bakar dan daun buat celur. Itulah makanan seketika zaman penjajahan Jepun. Tidak seperti sekarang pelbagai makanan boleh kita makan. Keluh mak dengan keluhan resah ketika itu, 'susah hidup mak zaman Jepun'. Rakan-rakan seusia mak telah lama meninggal dunia. 

Mengimbau kenangan ketika kedatangan Jepun sungguh meruntum jiwa. Aku yang mendengar kisah ini pun dapat bayangkan betapa takutnya ketika itu. Sebelah malam tidak boleh nyalakan lampu. Bergelap. nampak tentera Jepun terus bersembunyi. Harta benda terpaksa ditinggalkan dan memulakan hidup baru takkala Jepun menyerah kalah selepas Perang Dunia Ke-2. 

Setelah melalui semua itu, mak berharap negara Malaysia terus aman dan tidak lagi mengalami suatu kehidupan yang susah. Namun pada hari ini, dunia di landa satu wabak penyakit yang tidak terjangka oleh kita. Masyarakat dunia porak-peranda. Hidup dalam norma baru yang entah bila akan berakhir. Semoga dengan berkat doa mak Selamah, doa warga emas dimakbulkan oleh Allah swt menggangkat wabak Covid19 ini agar kita dapat hidup seperti sediakala dan boleh melakukan ibadah di masjid seperti dahulu.

Ikuti kisah pengalaman mak Selamah ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu di channel Mr Kopikarat.


Kematian dan Seksa Kubur

KG SEBERANG MERBAU HILIR - Pada malam yang penuh keberkatan itu, Surau Kampung Seberang Merbau Hilir menjadi saksi kepada sebuah majlis ilmu...