KG TOK DERPAH – Melangkah
masuk ke sebuah rumah usang, rumah yang dahulunya terdengar gelak tawa
adik-beradik dan suara ibu takkala sibuk memasak di dapur. Tetapi kini itu
semua menjadi kenangan yang tidak bisa diungkapkan dengan kata-kata. Kenangan
yang akan dilipat kemas di dalam lipatan sejarah. Gemuruh jantung ku takkala
pertama kali menjejakkan kaki ke rumah ini. Entah seperti ada sesuatu yang
rasanya bisa menjentik jiwa dan perasaan. Masih teringat kenangan arwah ayah
dan ibu ku. Rumah pun usang tanpa gelak tawa ibu dan ayah.
Berada di jauh sudut
masuk ke dapur, terlantar sosok tubuh anak muda berusia 19 tahun. Kulit cerah
dan tampan pernah di belai oleh arwah ibunya suatu dahulu kala. Menangis anak
muda kurang upaya ini takkala dimaklumkan oleh ayahnya ketika ibunya dijemput
Ilahi. Hilang sudah tempat bergantung harap, tempat mengadu kasih seorang ibu
dan teman tidur takkala demam di malam hari. Subhanallah..hati ku tersentuh dan
pilu. Pemergian ibu tercinta kira-kira 3 tahun yang lalu. Tiada lagi dapat
merasa sentuhan tangan seorang ibu.
Namanya cantik iaitu
Che Kamaruddin. Hanya boleh menyebut nama Ayah..ayah..ayah. Ayahnya mujur masih
lagi segar diusia 73 tahun yang menjaga makan minum anaknya itu yang dibiasakan
dengan panggilan ‘Din’. Ada 3 lagi
adik-beradik yang tinggal bersama-sama Din. Mereka bekerja kampung dan hidup
juga dalam kedaifan. Makan jarang sekali masak. Lama sudah tidak merasa masakan
seorang ibu. Tiada lagi kari ayam atau ikan singgang dari air tangan seorang
ibu. Aku dapat bayangkan akan kerinduan mereka adik-beradik termasuk Din akan
ibu mereka. Belum puas mereka menagih kasih sayang seorang ibu. Apakan daya
Allah swt lebih menyayangi insan itu dan mereka tetap akan teruskan kehidupan
walau sepahit manapun.
Din bergantung harap
kepada ayahnya yang masih lagi mempunyai kudrat untuk menjaganya. Mudah-mudahan
ayahnya terus dirahmati oleh Allah swt dengan kesihatan yang baik. Menurut
ayahnya, dia akan membeli nasi bungkus, air dan kalau ada lebih kuih-muih untuk
Din yang tidak mampu berjalan hanya menggensot di tepi anjung menghala ke
dapur. Luluh hati ku pertama kali melihat keadaan Din. Pakai tidak akan lekat
di badan kerana dia akan mencabut pakaian itu.
Din akan minum menggunakan
botol susu seperti kanak-kanak kecil. Bayangkan umur 19 tahun jika dia tidak
sakit aku pasti dia kini sedang melanjutkan pelajaran ke menara gading ataupun
mampu bekerja. Kini nasibnya hanya bergantung kepada ayah dan adik-beradik.
Subhanallah..“berat mata memandang, berat
lagi bahu yang memikul”. Tiada lagi kata-kata yang boleh aku gambarkan
ketika sekelumit cuma berada di rumah itu. Hilang akal fikiranku. Rasa syukur
menerjah ke dalam lubuk hati ku takkala aku dilimpahi rezeki dari Allah swt,
akan tetapi keluarga ini hidup di dalam kedaifan. Ya Allah..
Bagaimana kita boleh
merasa bangga akan apa yang kita ada? Sedangkan insan lain seperti Din tidak
mempunyai apa-apa hanya belas kasihan ayah dan adik-beradik. Aku berharap ayah
dan adik-beradik akan terus menjaga Din walau dalam keadaan mana sekalipun. Ibu
telah lama pergi. Tiada lagi kedengaran suara ibu apatah lagi untuk merasai
tangan kasar seorang ibu memandikan Din dan menyuapkan nasi untuk Din. Kita
yang masih mempunyai ibu..sedarlah..hargai ibu..takkala masa tiba baru kita
tahu dan sedar akan kehidupan tanpa seorang ibu di sisi bagaikan kebun yang
luas tanpa buah yang manis.
Menziarahi Din
banyak memberi keinsafan kepada ku. Betapa banyak rezeki Allah swt untuk kita
ucapkan rasa syukur. Subhanallah..aku selalu pesan pada hati agar sentiasa
memulakan hari dengan bersyukur.
“Sesungguhnya jika kamu
bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu
mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim [14]: 7)
Din
anak syurga. Kita yang sempurna tidak tahu lagi untung nasib di alam sana.
Hanya amalan sedekah jariah bisa membantu menemani di alam yang gelap gelita.
Subhanallah.
Detik waktu terus berjalan Seribu mimpi, berjuta sepi Meski 'ku rapuh dalam langkah |
Hanyalah pada-Mu Maafkanlah bila hati Meski 'ku rapuh dalam langkah |
Insya Allah, setelah saya dan rakan NGO
menziarahi Din, kami bersetuju akan mengadakan aktiviti gotong-royong pada hari
Sabtu 22hb Ogos 2020 pada jam 9 pagi. Kepada mana-mana insan yang prihatin
ingin memyertai kami, boleh terus bersama-sama kami pada hari tersebut.
Sumbangan boleh diberikan dalam bentuk kewangan atau barang-barang yang
difikirkan perlu untuk membersihkan rumah ini dan menggantikan apa yang patut.
Berikut beberapa barang yang akan
dibelikan dan memerlukan sumbangan pembaca dan juga netizen diluar sana.
1. Segulung tikar getah
2.
Lampu LED panjang 4
3.
Alas meja 2 keping
4.
Kerusi plastik 4
5.
Toto 4
6.
Bantal dan sarung bantal 4
7.
Kain selimut 4 helai
8.
Alas kaki 5 keping
9.
Baldi 2
10.
Kelambu 3
11.
Tali rafial
Sumbangan untuk barangan membersih rumah juga diperlukan seperti penyapu, baldi, sabun, mop, bulu ayam dan apajua yang difikirkan perlu. Insya Allah kita akan bantu keluarga daif ini.