Tuesday, April 21, 2020

Jangan berhenti berbuat baik walaupun dikecam


HERITAGE VILLA – Penularan wabak pandemik benar-benar memberi kesan kepada rakyat Malaysia dan dunia. Saya tidak mahir bercakap dari segi perubatan tentang Covid19 tetapi saya ingin menulis sedikit perkongsian saya sebagai seorang aktivis masyarakat. Hanya insan yang mempunyai perasaan dan mendalami dunia sukarelawan mengetahui apa yang ada disudut hati mereka. Percayalah takkala anda menjadi sukarelawan, hidup anda akan lebih bermakna kerana akan dikelilingi oleh orang-orang daif yang dimakbulkan doa mereka oleh Allah swt.
Gambar sekadar hiasan. Jangan kecam...
Saya tertarik dengan pesanan-pesanan Luqman al-Hakim seorang yang disebut dalam Al-Quran dalam surah Luqman (31):12-19 yang terkenal kerana nasihat-nasihat kepada anaknya. Di antara nasihat beliau ialah:

3. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah SWT dan mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikamu terhadap hak dirimu dan kebaikan dirumu terhadap orang lain.”

Bagaimana untuk saya mula penulisan ini? Hilang idea takkala petang tadi melihat kerja amal yang dibuat oleh seorang pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew. Subhanallah saya belum pernah menghadiri secara ‘live’ ceramah beliau hanya melalui youtube. Ok lah..baik kiranya kita mengenali siapa sebenarnya beliau. Ok..dah mari idea (sambil mengganggukkan kepala..haha..kepuasan).

Seorang berbangsa Cina menyebut syahadah ketika berusia 12 tahun. Pada masa kecilnya, beliau merupakan seorang murid yang nakal namun terbuka hati untuk belajar mengenal Islam melalui salah seorang gurunya. Dan bermula saat itulah, beliau tekun mempelajari tatacara solat serta mengajak ahli keluarganya yang lain untuk mendekati agama suci Islam. Alhamdulillah hari ini beliau menjadi penceramah dan aktivis masyarakat sangat disegani walaupun ada kecaman dari netizen di luar sana.
Ini adalah antara tips Ustaz Ebit Lew dalam hidup seharian;


“Dua kunci rezeki dan ketenangan datang dalam hidup kita. Sayang dan jaga isteri dengan baik, jaga solat,. Sebelum mulakan kerja, solat 2 rakaat. Nak buat apapun, minta pada Allah dahulu..”

“Tidak pernah kecewa sebuah keluarga yang membawa sunnah Nabi SAW. Tiada yang boleh memberi bahagia selain dari Allah SWT”.


Ada hikmah disebalik apa yang berlaku pada hari ini. Masyarakat Malaysia berlumba-lumba untuk membantu golongan daif apatah lagi ketika ini ramai yang tidak boleh bekerja dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020. Bagi mereka yang makan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang..keadaan ini sangat getir dan sukar untuk dimengertikan jika kita tidak cuba memahaminya. Mujurlah ada insan-insan yang bergelar sukarelawan ini meredah semak-samun menyusuri lopak-lopak air ke rumah-rumah daif ini. Mereka bukanlah ‘frontliner’ tetapi ketika ini juga mereka masih membantu dek kerana hati dan naluri yang suka membantu.

Beliau dilahirkan bukan dari keluarga Islam tetapi Allah SWT itu yang mengaturkan segala-galanya. Allah SWT tidak melihat asal keturunanmu, warna kulitmu, hartamu sebaliknya Allah SWT melihat akan kebaikan yang kamu lakukan. Mungkin tidak terfikir dibenak fikiran kita yang lahir dari keluarga Islam bagaimana seorang yang asalnya bukan Islam kini menjadi seorang yang begitu dekat dengan golongan daif ini. Lihat..lihat dengan hati bukan dengan mata..kerana jika lihat dengan mata terlalu luas hendak kita terokai tetapi jika lihat dengan hati..kita akan merasainya..ingin melakukan apa yang Ustaz Ebit Lew lakukan.

Secara jujurnya saya irihati kepada beliau kerana saya tidak mampu menolong orang sehingga ke tahap itu. Hanya sekadar bersimpati dan menghulur sekampit beras buat menghilangkan lapar sehari dua. Mudah-mudahan walaupun sedikit sahaja sedekah saya akan dirahmati oleh Allah SWT dan dilimpahkan pahala kepada kedua-dua arwah ibubapa saya. Secara jujur juga saya katakan, kenapa masih ada netizen di luar sana yang mempertikaikan kerja buat beliau. Tetapi biasalah orang yang berbuat baik akan dikecam kerana sebenarnya Allah SWT sedang mengujinya.

Saya menulis komentar ini hanyalah dari apa yang saya lihat di media-media sosial. Malaysia sebuah negara harmonis. Masyarakat Malaysia terkenal dengan rakyat yang suka membantu tidak kira di dalam atau luar negara tetapi mengapa masih ada cakap-cakap yang kurang enak disebalik kerja buat beliau. Mudah-mudahan tidak ada sedikit sifat irihati dan dengki di dalam hati kita. Kerana ia akan mencerminkan perlakuan sebenar kita. Maka, bersangka baiklah kepada orang dan jangan sesekali bersangka buruk.

Kepada Ustaz Ebit Lew (dengan izin Allah SWT beliau terbaca artikel saya ini), saya sebagai sukarelawan dan aktivis masyarakat sentiasa menyokong usaha murni ustaz membantu golongan daif keluar dari kemiskinan. Pahala pada hari ini tidak nampak tetapi di akhirat pahala itulah yang akan membantu kita meneruskan suatu perjalanan yang lebih panjang dari perjalanan kita di dunia pada hari ini.

Friday, April 17, 2020

Kenangan mengusik jiwa ku..


HERITAGE VILLA – “Bagaimana kan kumula..dan apakah kata-kata..yang indah untuk diabadikan..tiap wajah berkisah..tiap madah bererti..manakah ilhamku?. Sangat puitis bait-bait lagu ini. Sesiapa sahaja yang mempunyai hati pasti akan merasaikan setiap ungkapan itu. Penuh makna dan mengingatkan akan seseorang yang terasa dekat tetapi tidak boleh dipegang dan tidak boleh untuk merasai kehadirannya. Sesungguhnya kita sangat daif dan kerdil takkala melihat akan kebesaranNya. Daif bukan dilihat dari aspek material tetapi tidak ada satu pun anggota badan yang boleh dibanggakan. Akan berterbangan takkala ditiup angin.
Dua insan yang menjadi sumber inspirasi. Ya Allah..rahmatilah kedua-dua arwah ibubapaku. 
Aku dapat merasakan kehadiran melalui nafasnya yang menguatkan aku untuk hidup. Kekadang nafasnya semakin jauh dari ku dan aku terus menoleh agar nafas itu tidak pergi jauh dariku. Namun apakan daya aku hanya manusia biasa, tidak lari dari dosa. Tidak ku mampu untuk menyekatnya jauh pergi buat selama-lamanya. Hilang sudah tempatku bermanja dan bergantung harap.

Pengalaman banyak mengajar aku erti kehidupan. Benar kata orang..hidup tidak selalu indah, ada masa susah. Namun ketahuilah saat-saat diuji dengan kesusahan itu sebenarnya mengajar erti sebuah pengorbanan. Jika tikda pernah merasa susah, maka tidak ada serinya dalam kehidupan. Tidak akan ada satu perasaan untuk berkongsi dan mendalami kesusahan dengan orang lain. Biarlah kita susah sekarang nanti dikemudian hari akan diberi kesenangan.

Aku telah lalui segala macam kesusahan. Tiada siapa yang tahu. Dan aku pun tidak mahu orang tahu. Biarlah aku pendam perasaan itu yang beransur-ansur hilang takkala mata mulai letih dan beradu. Kesusahan itu disambung lagi keesokannya. Aku berpegang kepada kata-kata orang-orang kampung “kalau kita rasa susah, orang lain lebih sudah”. Itu realiti. Kemana sahaja kaki ini menapak, kata-kata itu sering aku ingat supaya diri ini tidak lalai dibuai mimpi indah di alam fana. Teringat pula lagu nyanyian kumpulan Fotograf bertajuk Di Alam Fana Cinta. Al-Fatihah buat penyanyi lagu ini.

Benar sekali masih ramai orang yang susah di luar sana. Ketika inilah aku berlumba-lumba untuk mencuri sedikit ruang di ruangan hati mereka. Berkongsi kesedihan mereka. Berkongsi kegembiraan sedikit yang mereka ada. Walaupun begitu dengan hanya sedikit rasa gembira yang mereka ada itu seperti suatu kebahagian yang dipanggil ‘kebahagian cinta’. Dunia moden banyak melekakan manusia. Jika ada wang, apa yang kita mahu semua boleh. Makanan dihantar hingga ke depan rumah dan ber’cod. Apa lagi..apa sahaja yang terfikir kita akan dapat.

Kebahagian cinta itu yang sukar untuk dicari. Ramai di luar sana tidak mampu memesan cod untuk anak-anak mereka. Terdetik juga mungkin di hati mereka untuk merasai makanan cod. Rasanya lah. Namun 6, 7, 8 beranak itulah yang makan di dalam bulatan yang aku rasanya suatu kebahagian cinta yang sudah semakin hilang di bawa arus kemodenan. Namun Allah swt maha besar, kekayaan cinta itu dikembalikan semula kepada hamba-hambanya. Tempoh getir ini telah mengeratkan kembali hubungan anak beranak. Alhamdulillah.

Cahya di matamu, senyum di bibirmu..mengukir seribu tanda pertanyaan..mungkinkah kau jua dalam kerinduan..di saat begini aku merindukan. Rindunya rasa kepada insan yang telah pergi. Tidak tertahan rasanya. Rasanya tidak banyak manapun pengorbananku ketika bersama-sama dengannya. Namun Allah swt ketika itu masih memberi aku peluang berbakti di saat-saat pemergiannya insan-insan tersayang. Raut wajahnya masih ku ingat. Senyumannya aku rindukan. Tidak pernah mengeluh. Ya Allah..kembalikan semula mereka kepadaku. Ia sesuatu yang mustahil.

Senyumannya masih aku ingat. Ingatan tidak akan padam selagi masih bernyawa. Besar harapannya untuk melihat aku berjaya. Berjaya masuk ke menara gading seperti anak-anak orang lain. Alhamdulillah segala harapannya telah aku sempurna. Allah swt bagi peluang untuk aku bersama-samanya. Masak untuknya. Puashati aku takkala masakan aku dijamah dengan penuh menyelerakan. Sukar untuk digambarkan. Namun segalanya tinggal kenangan. Kenangan yang mengusik jiwa.
-bersambung-

Thursday, April 16, 2020

Kak Yah warga prihatin



KENJEN, REPEK – Saya ketandusan idea untuk menulis takkala melihat keluarga 11 beranak ini. Entahlah hilang tidak semena-mena idea yang berkobar-kobar untuk menulis pasal keluarga ini. Bak kata lirik dalam lagu M.Nasir..

Bagaimana kan kumula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan?
Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku? 

Bait-bait lirik lagu Suatu Masa oleh M.Nasir.

Saya menapakkan kaki perlahan-lahan takut jerlus ke bawah. Lantai reput dan sangat menyayat hati tetapi anak-anak mereka masih boleh berlari-lari di sekeliling ruang tamu. Mereka sudah biasa dan tahu tempat mana yang tidak boleh mereka bermain. Kalau anak saya pastinya akan jerlus ke bawah kerana tidak biasa berjalan di atas papan lantai yang usang.

Sesampai saya ke rumah itu, wajah kanak-kanak menjenguh dari pintu usang. Teruja melihat orang datang kalau-kalau membawa buah tangan untuk mereka. Insya Allah tadi saya singgah di kedai membeli sedikit makanan untuk budak-budak. Mereka seperti kanak-kanak biasa tetapi apa yang agak luar biasa mereka tidak pernah merunggut dengan kedua ibubapa hendak itu dan hendak ini. Meraka anak-anak yang baik.

Bersembang seketika dengan ketua keluarga, saya masuk ke ruang tamu keluarga ini. Ruang tamu agak luas tapi tidak tersusun. Sukar untuk saya gambarkan. Video yang saya ambil boleh menceritakan segala galanya. Saya juga dibesarkan di sebuah rumah kampung tetapi kesusahan kami rasanya tidaklah sesusah mereka ini. Secara jujur saya tidak pernah tergambar akan apa yang telah saya lihat. Saya beralih ke ruang dapur. Saya mengucap panjang. Sungguh sedih melihat keadaan di bahagian dapur rumah ini. Sebahagian lantai sudah runtuh dan sebahagian lagi menunggu masa untuk runtuh. Sudah berlumut dan reput. Saya menapak perlahan-lahan di ruang dapur.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana ibu mereka menyediakan makanan seharian untuk mereka. Apapun hidup harus diteruskan. Rumah inilah yang hanya mereka mampu sewa. Sedaif mana pun itulah syurga mereka, tempat mereka berteduh anak-beranak. Rasanya tidak mampu lagi saya hendak meneruskan penulisan ini. Otak seakan tepu dan tidak mampu berhubung lagi. Rasanya saya perlu menyudahkan bait-bait lagu M.Nasir supaya dapat meredakan sedikit kesedihan di jiwa. ‘Smule’ pun bagus juga.

Cahya di matamu, senyum di bibirmu
Mengukir seribu tanda pertanyaan
Mungkinkah kau jua dalam kerinduan?
Di saat begini aku merindukan. 

Berhelai-helai surat
Terbiar di depanku
Tak dapat aku utuskan
Kuramas semua
Dan kubuangkan jauh
Dari pandangan

Lalu aku kesal, kukumpul semula
Tak dapat kunyatakan apa yang kurasa
Jika engkau tahu di dalam hatiku
Mungkinkah kau sahut jeritan batinku?

Dengarkanlah panggilanku
Dengarkanlah lagu untukmu
Angin lalu kau sampaikan
Rasa rindu yang membara..

“kalau kita rasa susah, orang lain lebih susah”
Nukilan Mr Kopikarat


Monday, April 13, 2020

Rakyat Malaysia bersatu hati..


Blogger kampong a.k.a Mr Kopikarat sejenak komentar.
HERITAGE VILLA – Penularan Covid19 yang dikategorikan sebagai pandemik benar-benar mengubah corak hidup penduduk dunia. Dunia seakan-akan terhenti dari melakukan acara-acara keramaian sebaliknya berdiam diri di dalam rumah. Maka, timbulkan cakap-cakap kosong ekoran impak daripada penularan wabak ini. Mahu tidak mahu, penduduk dunia berada di dalam ruang litup yang kecil seakan di dalam sel. Apa yang kita rasa mungkin juga suatu perasaan sama yang dialami oleh haiwan yang terkurung berpuluh-puluh tahun. Subhanallah.

Tragis dan menyayat hati. Ribuan meninggal dunia sehingga ada negara yang tidak lagi mampu menguruskan mangsa-mangsa. Syukur Alhamdulilah di Malaysia tidak lagi sampai ke tahap itu. Walaupun kes positif tertinggi di Asia Tenggara akan tetapi sehingga ke hari ini kerajaan Malaysia dengan sokongan padu rakyat mengharungi usaha menyekat penularan wabak dengn begitu baik sekali disamping berkat doa-doa rakyat Malaysia dan ada juga doa-doa dari rakyat Palestin dan Syria yang tidak putus mendoakan kesejahteraan Malaysia.

Mengapakah mereka mendoakan Malaysia?

Secara jujur saya terkejut melihat beberapa video di youtube di mana rakyat Palestin dan Syria, anak-anak kecil berdoa untuk rakyat Malaysia selamat dari Covid19. Krisis di Asia Barat itu telah lama diketahui masyarakat dunia tetapi masing-masing memekakkan telinga. Sebuah negara yang sering menjadi cakap-cakap rakyat Palestin dan Syria takkala mereka di dalam kesusahan, tidak lain tidak bukan adalah MALAYSIA. Sebuah negara kecil bukan sahaja membantu mereka dari segi bantuan makanan malah lantang membantah pencerobohan Israel di PPB. Negara-negara Timur Tengah yang lain tidak berani membantah apatah lagi mengkritik US dan Israel ketika menanggani isu Palestin. Rata-rata apabila mereka mendengar Malaysia, mereka tahu Malaysia adalah satu-satunya negara yang rakyatnya pemurah dan sering membantu mereka.
Dalam Surah An-Nisaa’ ayat 148 yang bermaksud:

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Malaysia tidak pernah putus membantu rakyat Palestin. Pelbagai kemudahan awam dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia. Mereka gembira setiap kali bertemu rakyat Malaysia dan sangat mengimpikan suatu kehidupan aman damai di bumi Malaysia. Menanggani wabak pandemik benar-benar menguji setiap negara. Ia lebih dari satu peperangan yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Ia suatu peperangan yang melibatkan musuh teramat kecil tersembunyi tanpa boleh dijejaki. Sehebat mana kekuatan bala tentera tidak bisa mengalahkan tentera yang bergelar Covid19. Lihatlah negara terkuat dunia US telah menduduki tangga teratas melebihi 200 ribu orang dijangkiti virus ini. Kematian dicatatkan setiap hari. Petugas hospital ‘burnout’ dan rakyat telah pun panik. Situasi sekarang lebih panik jika dibandingkan dengan peristiwa September 11. Mereka bukan berperang dengan senjata tetapi berperang dengan musuh yang ‘invisible’ lebih canggih deripada mereka.

Alhamdulillah berkat doa-doa anak kecil Palestin dan Syria, rakyat Malaysia dicurahkan rahmat oleh Allah SWT. World Heath Organisation (WHO) telah mengiktirafkan Malaysia negara terbaik menanggani penularan wabak Covid19. Tahniah kepada kerajaan Malaysia, KKM, barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang patuh dengan arahan PKP ketika ini. Kedudukan pertama dunia juga menimbulkan rasa iri hati negara-negara yang lebih maju dari aspek kesihatan berbanding Malaysia. Mereka kagum dengan usaha kerajaan Malaysia menanggani penularan wabak pandemik ini kerana mereka hampir lumpuh dan tidak bermaya lagi.

Pada awalnya Malaysia panik takkala mengesan jangkitan pertama Covid19 di kalangan pelancong asing. Rakyat marah. Selepas itu terdapat di kalangan kluster tabligh pula terkena jangkitan. Namun KKM mengambil langkah cepat membuat saringan hampir sebahagian besar peserta itu dan mereka telah memberikan kerjasama yang baik. Alhamdulillah mereka yang dijangkiti terus dirawat dan kontek terdekat mereka dikuarantin dengan penjagaan yang ketat oleh pihak hospital.

Beberapa insiden besar telah berlaku melibatkan negara kita Malaysia. Kehilangan MH370 menjadi sejarah di industri aviation bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Hilang tanpa jejak sehingga ke hari ini. Teknologi canggih dan satelit pun tidak boleh mengesan di mana terletaknya kerangka besi itu. Mungkin tenggelam di dasar lautan dalam Hindi atau pun mungkin masih berlegar-legar di awam. Hanya Allah swt yang mengetahuinya. Tidak berakhir di situ sahaja, MH17 pula di tembak jatuh di Ukraine dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Semua penumpang dan anak kapal korban. Satu keluarga dari Sabah juga menerima nasib sama takkala mereka teruja untuk pulang ke tanah air. Al-Fatihah semoga roh mereka sekeluarga dirahmati oleh Allah swt.

Penularan wabak pandemik sekali lagi melonjakkan nama Malaysia apabila diiktiraf negara paling cekap di dunia mengendalikan kes ini. Secara jujur saya bangga dengan pencapaian Malaysia takkala negara lain hilang arah tuju untuk membendung penularannya. Penduduk di negara-negara yang terkesan panik dan sudah seakan berputus asa untuk meneruskan kehidupan. Hospital dipenuhi dengan pesakit dan pesakit baru pula seperti tidak terkira oleh mereka. Kemudahan di hospital tidak mencukupi.

Malaysia pada hemat saya berada di landasan yang betul selagi penduduk Malaysia mematuhi langkah-langkah pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan. KKM bertindak pantas mewujudkan telegram yang sehingga saya menulis artikel ini jumlah ahli telah mencecah 1.1 juta orang. Melalui telegram ini pihak kerajaan dan KKM menyalurkan maklumat terkini dan juga menyebar luaskan mana-mana maklumat palsu supaya rakyat tidak panik dan tertipu. Alhamdulilah saya bangun sahaja dari tidur pasti akan melihat maklumat terkini dari KKM.

Dua hari lepas saya menonton youtube seorang professor dari Indonesia yang bekerja di Malaysia, beliau membuat ‘video call’ dengan seorang kenalan. Durasi video tersebut kira-kira 30 minit. Beliau bercakap tentang cara Malaysia menguruskan Covid19 daripada menyekat penularan sehinggalah kepada menjaga kebajikan penduduk sepanjang ‘lockdown’ sehingga 28 April 2020. Beliau memberikan pendapat jujur berdasarkan pengalamannya ketika ini masih berada di Malaysia. Dalam penduduk negara lain panik, katanya penduduk Malaysia masih lagi tenang dan hanya mengikut satu saluran telegram sahaja. Ini menjadikan rakyat Malaysia mendapat info dan maklumat yang telus dan mereka lebih bersedia menghadapi apajua keputusan yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Beliau amat terkejut dengan bantuan dari pihak kerajaan kepada semua rakyat Malaysia. Tidak ada satu pun yang tertinggal menerima bantuan kewangan untuk membeli barangan keperluan harian mereka dalam tempoh kawalan pergerakan. Begitu juga syarikat swasta berlapang dada memberikan diskaun bil eletrik, data internet yang lebih banyak dan segala macam lagi kemudahan diberikan sepanjang perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. NGO pula tidak menang tangan membantu penduduk miskin dan rata-rata rakyat Malaysia membantu antara satu sama lain. Ini menunjukkan usaha menyekat penularan wabak ini tidak hanya dilakukan oleh kerajaan malah badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan juga turut membantu seadanya. Contohnya memberi bekalan makanan kepada petugas seperti askar dan polis sebagai tanda penghargaan masyarakat. Ketika susah ini mereka telah bergabung erat dan rakyat Malaysia ketika ini masih bertenang dan tidak panik seperti negara-negara lain.

Saya ralik mendengar komentar warganegara Indonesia itu. Mungkin pendekatan yang dilakukan oleh negara lain berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Malaysia. Saya sebagai blogger kampung dapat melihat wujud satu sikap bekerjasama di antara rakyat Malaysia. Kehidupan ketika penularan wabak Covid19 pada saya lebih susah jika dibandingkan dengan banjir pada tahun 2014. Kita berhadapan dengan situasi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar mungkin boleh dilihat dengan mata hati. Tempoh kawalan pergerakan ini adalah pertama kali bagi saya sepanjang saya hidup lebih dari 4 dekad. Inilah saat-saat getir buat kita semua. Jangan ada sikap sombong dan tidak endah di kalangan kita. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Rakyat Malaysia harus bersatu dan terus bersatu bak kata pepatah:

“bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

STAY HOME

Dan baca artike-artikel dari blogger kampong Encik Matt.

Saturday, April 4, 2020

Kisah benar seorang positif Covid19, ini luahan hatinya..


KUALA LUMPUR – Berat rasanya tangan saya untuk menulis artikel ini. Mengenali seorang rakan di media sosial yang telah disahkan positif Covid19. Tergamam saya seketika. Berlegar di fikiran saya segala macam kemungkinan yang bakal di tempuhi. Suatu stigma yang sangat menakutkan sehingga satu arahan kawalan pergerakan diistiharkan oleh pihak kerajaan. Hati dan perasaan hanya dia yang tahu. Namun setelah menelefon beliau yang kini masih dikuarantin di hospital, bersama-sama kira 15 orang lain yang disahkan positif novel koronovirus ini seperti tidak percaya akan betapa kuatnya hati anak muda ini berhadapan dengan situasi getir ini.

Fared seorang jurutera di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Di dalam artikel ini saya akan membuat serba ringkas kronologi bagaimana anak muda ini dijangkiti oleh virus ini. Pada 13 Mac 2020 Fared menghadiri satu kursus bersama-sama 50 orang lain di sebuah hospital. Pertemuan itu berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sepertimana yang kita tahu virus ini bertindak di dalam tempoh 14 hari. Jadi, selepas pertemuan tersebut Fared pulang ke rumah seperti hari-hari biasa.
Catatan ini ketika saya menghubungi Fared yang ketika ini masih berada dalam kuarantin di hospital.
Fared ke tempat kerja seperti biasa. Tidak ada apa yang aneh yang dirasakan sepanjang tempoh tersebut. Kira-kira hampir 2 minggu selepas itu Fared ada mengalami selsema (flu) biasa mungkin disebabkan keletihan berkerja. Fared tidak pula terlintas di fikirannya kebarangkalian dia juga telah dijangkiti. Jadi, Fared sentiasa berfikiran positif apatah lagi dia bekerja di sebuah hospital. Kes-kes positif Covid19 di hospital di tempatnya bekerja sudah menjadi kebiasaan di kalangan petugas di hospital. Apa yang penting langkah-langkah pencegahan telah diambil mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Suatu hari ketika di tempat kerja, Fared dimaklumkan oleh rakan bahawa salah seorang peserta ketika kursus itu telah disahkan positif Covid19. Fared tidak terkejut dengan berita yang disampaikan oleh rakannya itu sebaliknya Fared dan kesemua rakan-rakan menjalani saringan Covid19. Jadi Fared membuat temujanji pada 27 Mac untuk menjalani saringan. Kebiasaannya keputusan saringan akan diketahui dalam tempoh 48 jam. Jam berdetik dan terus berdetik. Fared dan rakan-rakan masih menunggu keputusan dari pihak hospital. Ketika Fared bercerita dengan saya melalui perbualan telefon, Fared tidak pun berada di dalam keadaan gusar ketika mana menunggu keputusan saringan sebaliknya apajua kemungkinan Fared tetap akan menerima dan meneruskan kelangsungan hidupnya.

Telefon berdering. Ditatap Fared panggilan dari pihak hospital. Fared orang pertama dihubungi oleh pihak hospital. Dengan nada yag sedih doktor memaklumkan Fared positif Covid19. Fared sama sekali tidak terkejut sebaliknya doktor yang terkejut kerana Fared boleh menerima perkhabaran ini dengan tenang. Saya bertanyakan Fared mengapa dia tidak terkejut. Ini jawapan Fared..

“If you think positive you will become positive, if you think negative you will become negative”.

Kata-kata Fared membuat saya termenung seketika. Bagaimana seorang anak muda yang disahkan positif novel koronovirus masih boleh lagi berada di dalam satu keadaan yang positif. Sedangkan dia akan berhadapan dengan suatu keadaan yang tidak diketahui apa kesusahannya. Ini kerana Covid19 sudah menjadi pendemik ke seluruh dunia. Stigma terhadap seseorang yang disahkan positif Covid19 sangatlah buruk apatah lagi begitu cepat alirnya berita-berita tentang kematian pesakit Covid19. Fared ketika saya hubungi tidak merasakan jangkitan virus ini bisa mengakhiri kehidupan sebaliknya Fared berkata dia ketika ini dikuarantin dan masih sihat serta mengikut jadual rawatan yang telah ditetapkan oleh pihak hospital.

Pakciknya adalah orang pertama yang mengetahui beliau disahkan positif Covid19. Selang beberapa hari Fared memaklumkan kepada ibunya. Hati seorang ibu cepat tersentuh takkala mendengar suatu perkhabaran yang sukar untuk digambarkan. Air mata ibu mengalir memohon doa dari Allah SWT agar mempermudahkan segala urusan anaknya itu. Insya Allah doa seorang ibu akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Secara jujur saya tidak nampak Fared berada di dalam keadaan yang sangat tertekan. Fared telah berjaya mengawal keadaan dan tidak meletakkan apa yang berlaku ini suatu yang terlalu buruk. Sebaliknya Fared masih lagi menghubungi keluarga dan rakan-rakan melalui ‘video call’ dan mereka melihat Fared berada di dalam keadaan yang masih sihat di dalam tempoh kuarantin itu. Ia sedikit sebanyak telah mengubah stigma masyarakat terhadap pesakit yang disahkan positif Covid19. Sebenarnya virus ini menyerang sistem imunisasi badan. Ketika mana imunisasi badan lemah mudahlah virus ini bertindak. Ia juga didorong oleh faktor umur dan juga sakit kronik. Seandainya sistem imunisasi kita berada pada tahap yang baik, ia dapat melawan virus tersebut.

Menurutnya, orang yang telah disahkan positif Covid19 ini harus sentiasa berfikiran positif. Ini kerana jika seseorang sentiasa berada di dalam keadaan negatif dan juga stress, ia juga akan menjejaskan sistem imunisasi badan. Justeru itu, kawalan untuk sentiasa mengekalkan pemikiran yang positif itu adalah bermula dari individu itu sendiri. Menurutnya, jangan sekali-kali meletakkan suatu halangan yang terlalu besar untuk sembuh. Ini kerana masih ada pesakit Covid19 yang sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital.

Apa yang ingin saya tekan di dalam artikel ini adalah betapa penting suatu pemikiran positif setiap kali berhadapan dengan musibah besar ini. Ketika saya menghubunginya, rasanya saya lebih rasa takut dan gementar daripada Fared sendiri. Sikap positif Fared dapat saya rasa ketika kami bercekap dalam tempoh kira-kira 20 minit. Saya percaya ujian Allah SWT itu hanya untuk orang-orang yang kuat yang pastinya ada hikmah disebalik apajua yang berlaku.

“Fared..saya doakan anda sembuh secepat mungkin dan memberikan inspirasi kepada orang luar sana supaya lebih bersikap positif ketika mana berhadapan dengan apajua musibah. Insya Allah, semua akan mendoakan anda”.

Berlapang dada untuk membantu.


REPEK – Covid19 sudah menjadi pendemik yang merebak ke seluruh dunia. World Health Organisation (WHO) mengganggarkan lebih ramai penduduk dunia akan dijangkiti oleh Corona Virus yang dikatakan bermula dari pasar di Wuhan, China. Penduduk dunia panik seketika. Pembunuh senyap ini begitu cepat menjalankan misi tanpa mengira warna kulit dan keturunan. Pada awalnya ketika hanya melihat melalui kaca TV dan internet keadaan yang menggerikan di China dan beberapa buah negara, tetapi pada hari ini kita di Malaysia, berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak ini.

Malaysia belum pernah berhadapan dengan situasi genting seperti ini. Kita berhadapan dengan suatu wabak yang sukar dilihat tetapi beriko tinggi untuk dijangkiti seperti filem-filem ‘Zombi’ yang dizahirkan ke alam nyata. Sangat menakutkan. Allah swt sahaja yang dapat membantu kita melalui rahmatNya. Semua rakyat terkesan yang berada di bandar atau di kampung, yang kaya atau miskin. Saya boleh katakan bahawa penularan wabak ini bukan sahaja membinggungkan para saintis dan doktor malah apa yang lebih buruk adalah merubah sama sekali corak hidup penduduk dunia pada hari ini. Apapun sebagai orang Islam, apajua yang berlaku ini adalah satu peringatan dari Allah swt agar kita lebih mengingatiNya dan sentiasa redha.
Walaupun sedikit apa yang kita beri, besar bagi yang menerimanya. Tahniah kepada Persatuan Belia Prihatin.
Penularan wabak ini sehingga ke hari ini masih belum menunjukkan untuk reda. Masih ada kes-kes positif dilaporkan. Penduduk masih berada di bawah PKP sehingga 14 April 2020. Mudah-mudahan tempoh tersebut akan terhenti di situ sahaja supaya penduduk dapat bekerja semula seperti biasa. Ikhtiar hidup perlu diteruskan walau dalam keadaan mana sekali pun. Tidak akan terhenti untuk menyuap nasi kepada keluarga yang rata-rata di antara 5 hingga 8 orang. Bayangkan jika bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang..Ya Allah..

“semoga mereka terus bertahan dan bertahan..”

Persatuan Belia Prihatin masih terus menjalankan misi Mencari dan Memberi walaupun tidak mempunyai dana yang khusus. Namun, percayalah rezeki itu selalu mengalir dengan izin Allah swt. PBP yang dipengerusikan oleh saudara Hamdan Mat atau lebih dikenali nama BILAL, tidak pernah lekang disebut-sebut di kalangan penduduk kampung. Misi PBP telah membantu ramai orang susah. Ada satu pepatah yang selalu saya ingat..

“untuk menderma tidak semestinya ketika kaya”

Penularan novel koronovirus sudah menjadi pendemik. Penduduk dunia panik. Corak kehidupan penduduk dunia juga panik. Ekonomi merudum. Covid19 telah ‘trending’ di media-media sosial menjadi isu global yang mencetus suatu situasi yang tidak menentu. Sukar untuk digambarkan di beberapa buah negara di Eropah, situasinya sungguh mengerikan. Mujur di negara kita walaupun kes positif semakin meningkat tetapi kita nampaknya dapat mengawal sedikit kenaikannya. Pakat-pakat kita berdoa.

Jujur saya katakan situasi ini sukar untuk diramalkan. Namun kita tetap berharap agar tempoh PKP akan berakhir setakat itu sahaja. Penduduk kampung menangis takkala memikirkan cara mana untuk mencari rezeki. Segala-galanya berlaku sepantas kilat. Mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap pastinya amat terkesan. Terkesan untuk memenuhi permintaan si anak kecil merenggek minta aiskrim tetapi tidak mampu memenuhi kehendak mereka.

Namun, segalanya telah diaturkan oleh Sang Pencipta. Para dermawan berpusu-pusu mengambil peluang untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung yang daif. Mereka terkesan melihat keluarga-keluarga daif yang diviralkan di media-media sosial. Kalau sebelum ini mereka belum pernah membantu, tetapi ketika musibah ini mereka berlapang dada untuk membantu.

Syabas kepada tuan Bilal dan ahli PBP yang masih menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung demi kelansungan hidup. Entah kapan situasi ini akan berakhir namun kita tetap berharap ia akan berakhir secepat mungkin agar penduduk dapat mencari rezeki seperti sediakala. Penularan virus ini adalah satu peringatan dari Allah swt. Ia bukan sekadar wabak penyakit semata-mata. Manusia yang terang hatinya sahaja yang memahami betapa getirnya keadaan sekarang ini. Kiranya kita bangun keesokkan paginya melihat matahari naik dari sebelah Barat, maka tertutup sudah pintu taubat serta amalan kita ketika itu.

“Subhanallah”

Maka pakat-pakat kita membantu selagi mampu. Sedekah tidak semestinya ketika kita kaya. Kekayaan bukan syarat untuk bersedekah. Namun, kepada yang bersedekah beruntunglah mereka di akhirat nanti takkala kita memulakan suatu perjalanan yang lebih sukar jika dibandingkan dengan dunia fana ini. Suatu dunia yang jauh berbeza.

Galeri



Amin..berkata doa tuan Bilal.

"Kalau kita rasa susah, orang lain lebih susah.."


REPEK – Berat rasanya jari-jemariku menekan papan kekunci untuk mengisahkan suatu kisah kehidupan yang mungkin sukar kita fahami. Bukan untuk mengungkit asal usulku yang juga dari keluarga susah tetapi sekadar mengingatkan diri sendiri bahawa “kalau kita rasa susah, orang lain lebih susah”. Subhanallah, inilah yang dikatakan kehidupan. Kehidupan setiap manusia tidak akan sama. Realitinya keluarlah bertemu orang-orang di luar sana supaya kita lebih memahami keperitan hidup mereka, supaya kita lebih sedar akan betapa kita beruntung jika dibandingkan dengan mereka.

“deruan air mataku tidak bisa ditahan lagi....”.

Covid19 sudah menjadi pendemik. Hampir seluruh negara ada positif novel korovirus ini. Suatu musibah dari Allah SWT dek kerana kerosakan dan dosa-dosa yang dilakukan di atas mukabumi. Mungkin bagi orang bukan Islam, ia sekadar sejenis penyakit yang boleh dirawat dan jika bernasib baik mungkin boleh sembuh. Tetapi sebagai orang Islam, penularan Covid19 bukan sekadar penularan wabak penyakit tetapi lebih kepada suatu peringatan dari Allah SWT akan suatu keadaan yang lebih sukar takkala kita sebagai ummat akhir zaman.

Namun begitu, ikhtiar hidup perlu diteruskan. Keperihatinan membantu golongan yang susah jangan tersekat di sini selagi matahari tidak terbit dari sebelah barat. Takkala itu, amal dan taubat manusia telah tertutup rapat. Maka, pakat-pakat berlumba mengejar pahala yang bisa membantu kita takkala kita memulakan suatu perjalanan yang lebih sukar di alam yang jauh lebih berbeza.

Sejak menyertai aktiviti sukarelawan, saya tidak pernah merasakan sesuatu yang begitu meruntum jiwa. Sekadar bersimpati. Namun, di dalam tempoh ini sukar bagi saya untuk menggambarkan keadaan orang-orang kampung yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tempoh ini telah menghadkan orang-orang kampung melakukan kerja harian mereka untuk menyara kehidupan anak-anak yang rata-rata di dalam keluarga sekitar 5 hingga 8 orang. Namun, keadaaan agak lega takkala kerajaan memberikan sedikit bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada seluruh rakyat Malaysia. Alhamdullillah.
Semoga kita semua dapat membantu.
Berbalik kepada seorang penduduk kampung yang sempat saya temui bagi menyampaikan hasrat seorang rakan dari Kuala Lumpur. Saya juga tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki ini berumur sekitar 60an..mungkin. Ketika saya sampai di rumahnya, lelaki ini berada di hadapan rumah sambil mengelap-gelap tangga simen yang kotor supaya saya boleh duduk. Lelaki ini menyapa saya. Kami bertanya khabar keadaan beliau sepanjang tempoh PKP ini. Dengan tidak semena-mena air mata lelaki ini mengalir teresak-esak. Masya Allah..sayunya saya melihat keadaan lelaki ini yang bercerita sedikit perihal keadaannya. Isterinya telah meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Katanya sudah hampir 2 hari beliau makan mee segera kerana ketiadaan wang untuk membeli barangan dapur.

“saya tergamam seketika......”

Jauh disudut hatinya beliau sangat merindukan arwah isterinya. Saya percaya. Tangisan seorang lelaki yang belum pernah saya lihat, susuk tubuhnya tidak ubah seperti arwah ayah saya. Tangisannya teresak-esak. Saya lantas membawa sedikit bekalan barangan dapur kepadanya. Beliau tidak berhenti menangis. Sungguh sedih kerana masih ada orang yang mengingat akannya takkala berada di dalam keadaan yang getir ini.

Rakan-rakan diluar sana yang membaca sedikit coretan ini (tidak mampu untuk menulis lebih panjang) percayalah masih ada orang-orang di luar sana yang susah sedang menunggu bantuan dari kita. Mereka tidak pernah bersuara apatah lagi meminta-minta. Bayangkan kita masih lagi mampu membeli aiskrim untuk anak-anak, mereka ketika ini bersekang memasak gandum mengalas perut anak-anak kecil yang masih galak untuk makan dan bermain. Bantulah mereka tidak kira sessiapa sahaja yang anda fikirkan perlu kerana apa yang mereka dapat itu sekurang-kurangnya mereka dapat tidur lena pada malam itu walaupun tidak diulit mimpi indah. Percayalah sedikit sumbangan itu sangat besar bagi mereka yang memerlukan.

Friday, April 3, 2020

Alumni SK Tok Sangkut membanggakan penduduk kampung


KG TOK SANGKUT – Rezeki Allah swt ada di mana sahaja asalkan kita berusaha dan bertawakkal kepadaNya. Penularan wabak Covid19 benar-benar menginsafkan kita. Ia sudah menjadi pendemik di seluruh dunia. Berlaku sekelip mata sahaja. Kalau tempoh hari kita bersama-sama keluarga dan bergelak ketawa dengan rakan-rakan, tetapi hari ini kita terkurung walaupun bukan di tirai besi. Tiada lagi makan di restoran bersama-sama keluarga dan bersembang ketika zaman persekolahan dengan rakan-rakan di kedai kopi. Cepat masa berlalu. Lama rasanya untuk menghabiskan hari-hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun sebagai orang Islam kita tetap bersabar dan terus bersabar untuk mengekang penularan wabak ini.

Setiap lapisan masyarakat terkesan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Ingatlah setiap apa yang berlaku pasti akan ada hikmahnya. Malaysia sudah terkenal dengan sikap pemurah rakyatnya bukan sahaja di dalam negara malah disebut-sebut juga di luar negara. Antaranya rakyat Malaysia banyak menghulurkan bantuan kepada Palestin, Syria, Iraq dan beberapa buah negara lain di timur tengah. Jiran kita Indonesia juga kita selalu bantu. Antaranya ketika tsunami 2004 yang mengorbankan hampir 280,000 manusia di beberapa buah negara termasuklah 68 orang di Malaysia.

Insan-insan berhati mulia masih ada di sekeliling kita. Penularan Covid19 telah mengubah sama sekali corak kehidupan manusia sama ada di bandar atau di kampung. Ramai tidak boleh bekerja sedangkan mereka harus bekerja untuk mendapatkan wang. Kepada yang bergaji bulanan, Alhamdulillah masih lagi mengalir rezeki itu. Kepada yang berkerja kais pagi makan pagi, Subhanallah hanya mereka yang tahu erti keperitan hidup. Namun percayalah anda tidak akan keseorangan mengharungi liku-liku kehidupan ini kerana masih ada warga kampung yang mempunyai hati dan perasaan untuk membantu bak kata pepatah “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”.

Bukan banyak pun sekadar memberi sudah cukup menggembirakan.
Alumni SK Tok Sangkut antara yang mengambil langkah proaktif menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung sepanjang PKP. Idea ini digerakkan oleh seorang guru kampung dibantu oleh ahli-ahli yang tidak pernah mengenalkan erti lelah dan putus asa. Bagi saya mereka adalah ‘unsung heroes’ sebenarnya di dalam kampung. Usaha ini mula digerakkan melalui media sosial untuk makluman warga Alumni SK Tok Sangkut yang bermastautin di dalam dan luar kampung. Maka aliran wang untuk derma masuk begitu deras sederas hasrat mereka untuk merebut pahala bekalan di akhirat nanti.

Maka, ahli Alumni SK Tok Sangkut mula bergerak ke ceruk kampung bertemu mata orang kampung. Jelas kelihatan wajah gembira penduduk kampung dengan bantuan yang dihulurkan. Inilah yang dikatakan muafakat membawa berkat. Tidak sampai pun seminggu lebih, jumlah kutipan hampir mencecah RM3K. Alhamdulillah. Alumni SK Tok Sangkut memainkan peranan penting di dalam usaha membantu bekas-bekas pelajar dan juga masyarakat kampung. Usaha ini perlu dilakukan secara berkumpulan tanpa mengira pangkat atau darjat. Ini kerana pangkat dan darjat tidak menjadi ukuran disisi Allah swt. Apa yang penting adalah hati yang tulus ikhlas. Syabas sekali lagi saya ucapkan kepada Cikgu Adnan dan warga Alumni SK Tok Sangkut kerana telah berjaya membawa Alumni SK Tok Sangkut ke satu tahap yang sangat membanggakan. Semoga usaha anda dirahmati oleh Allah swt. Insya Allah.


Terima Kasih kepada semua penderma.