KG TOK SANGKUT
– Rezeki Allah swt ada di mana sahaja asalkan kita berusaha dan bertawakkal
kepadaNya. Penularan wabak Covid19 benar-benar menginsafkan kita. Ia sudah
menjadi pendemik di seluruh dunia. Berlaku sekelip mata sahaja. Kalau tempoh
hari kita bersama-sama keluarga dan bergelak ketawa dengan
rakan-rakan, tetapi hari ini kita terkurung walaupun bukan di tirai besi. Tiada
lagi makan di restoran bersama-sama keluarga dan bersembang ketika zaman
persekolahan dengan rakan-rakan di kedai kopi. Cepat masa berlalu. Lama rasanya untuk menghabiskan hari-hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP). Namun sebagai orang Islam kita tetap bersabar dan terus
bersabar untuk mengekang penularan wabak ini.
Setiap lapisan
masyarakat terkesan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Ingatlah setiap
apa yang berlaku pasti akan ada hikmahnya. Malaysia sudah terkenal dengan
sikap pemurah rakyatnya bukan sahaja di dalam negara malah disebut-sebut juga
di luar negara. Antaranya rakyat Malaysia banyak menghulurkan bantuan kepada
Palestin, Syria, Iraq dan beberapa buah negara lain di timur tengah. Jiran kita
Indonesia juga kita selalu bantu. Antaranya ketika tsunami 2004 yang
mengorbankan hampir 280,000 manusia di beberapa buah negara termasuklah 68
orang di Malaysia.
Insan-insan berhati
mulia masih ada di sekeliling kita. Penularan Covid19 telah mengubah sama
sekali corak kehidupan manusia sama ada di bandar atau di kampung. Ramai tidak
boleh bekerja sedangkan mereka harus bekerja untuk mendapatkan wang. Kepada
yang bergaji bulanan, Alhamdulillah masih lagi mengalir rezeki itu. Kepada yang
berkerja kais pagi makan pagi, Subhanallah hanya mereka yang tahu erti
keperitan hidup. Namun percayalah anda tidak akan keseorangan mengharungi
liku-liku kehidupan ini kerana masih ada warga kampung yang mempunyai hati dan
perasaan untuk membantu bak kata pepatah “ringan
sama dijinjing, berat sama dipikul”.
Bukan banyak pun sekadar memberi sudah cukup menggembirakan. |
Maka, ahli Alumni SK
Tok Sangkut mula bergerak ke ceruk kampung bertemu mata orang kampung. Jelas
kelihatan wajah gembira penduduk kampung dengan bantuan yang dihulurkan. Inilah
yang dikatakan muafakat membawa berkat. Tidak sampai pun seminggu lebih, jumlah
kutipan hampir mencecah RM3K. Alhamdulillah. Alumni SK Tok Sangkut memainkan
peranan penting di dalam usaha membantu bekas-bekas pelajar dan juga masyarakat
kampung. Usaha ini perlu dilakukan secara berkumpulan tanpa mengira pangkat
atau darjat. Ini kerana pangkat dan darjat tidak menjadi ukuran disisi Allah
swt. Apa yang penting adalah hati yang tulus ikhlas. Syabas sekali lagi saya ucapkan
kepada Cikgu Adnan dan warga Alumni SK Tok Sangkut kerana telah berjaya membawa
Alumni SK Tok Sangkut ke satu tahap yang sangat membanggakan. Semoga usaha anda
dirahmati oleh Allah swt. Insya Allah.
Terima Kasih kepada semua penderma.
No comments:
Post a Comment