REPEK
– Berat rasanya jari-jemariku menekan papan kekunci untuk mengisahkan suatu
kisah kehidupan yang mungkin sukar kita fahami. Bukan untuk mengungkit asal
usulku yang juga dari keluarga susah tetapi sekadar mengingatkan diri sendiri
bahawa “kalau kita rasa susah, orang lain
lebih susah”. Subhanallah, inilah yang dikatakan kehidupan. Kehidupan
setiap manusia tidak akan sama. Realitinya keluarlah bertemu orang-orang di
luar sana supaya kita lebih memahami keperitan hidup mereka, supaya kita lebih
sedar akan betapa kita beruntung jika dibandingkan dengan mereka.
“deruan
air mataku tidak bisa ditahan lagi....”.
Covid19 sudah
menjadi pendemik. Hampir seluruh negara ada positif novel korovirus ini. Suatu
musibah dari Allah SWT dek kerana kerosakan dan dosa-dosa yang dilakukan di
atas mukabumi. Mungkin bagi orang bukan Islam, ia sekadar sejenis penyakit yang
boleh dirawat dan jika bernasib baik mungkin boleh sembuh. Tetapi sebagai orang
Islam, penularan Covid19 bukan sekadar penularan wabak penyakit tetapi lebih
kepada suatu peringatan dari Allah SWT akan suatu keadaan yang lebih sukar
takkala kita sebagai ummat akhir zaman.
Namun begitu,
ikhtiar hidup perlu diteruskan. Keperihatinan membantu golongan yang susah
jangan tersekat di sini selagi matahari tidak terbit dari sebelah barat.
Takkala itu, amal dan taubat manusia telah tertutup rapat. Maka, pakat-pakat
berlumba mengejar pahala yang bisa membantu kita takkala kita memulakan suatu
perjalanan yang lebih sukar di alam yang jauh lebih berbeza.
Sejak menyertai
aktiviti sukarelawan, saya tidak pernah merasakan sesuatu yang begitu meruntum
jiwa. Sekadar bersimpati. Namun, di dalam tempoh ini sukar bagi saya untuk
menggambarkan keadaan orang-orang kampung yang kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang. Tempoh ini telah menghadkan orang-orang kampung melakukan
kerja harian mereka untuk menyara kehidupan anak-anak yang rata-rata di dalam
keluarga sekitar 5 hingga 8 orang. Namun, keadaaan agak lega takkala kerajaan
memberikan sedikit bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada seluruh
rakyat Malaysia. Alhamdullillah.
Semoga kita semua dapat membantu. |
Berbalik kepada
seorang penduduk kampung yang sempat saya temui bagi menyampaikan hasrat
seorang rakan dari Kuala Lumpur. Saya juga tidak menyangka akan bertemu dengan
lelaki ini berumur sekitar 60an..mungkin. Ketika saya sampai di rumahnya,
lelaki ini berada di hadapan rumah sambil mengelap-gelap tangga simen yang
kotor supaya saya boleh duduk. Lelaki ini menyapa saya. Kami bertanya khabar
keadaan beliau sepanjang tempoh PKP ini. Dengan tidak semena-mena air mata
lelaki ini mengalir teresak-esak. Masya Allah..sayunya saya melihat keadaan
lelaki ini yang bercerita sedikit perihal keadaannya. Isterinya telah meninggal
dunia beberapa bulan yang lalu. Katanya sudah hampir 2 hari beliau makan mee
segera kerana ketiadaan wang untuk membeli barangan dapur.
“saya
tergamam seketika......”
Jauh disudut hatinya
beliau sangat merindukan arwah isterinya. Saya percaya. Tangisan seorang lelaki
yang belum pernah saya lihat, susuk tubuhnya tidak ubah seperti arwah ayah
saya. Tangisannya teresak-esak. Saya lantas membawa sedikit bekalan barangan
dapur kepadanya. Beliau tidak berhenti menangis. Sungguh sedih kerana masih ada
orang yang mengingat akannya takkala berada di dalam keadaan yang getir ini.
Rakan-rakan diluar
sana yang membaca sedikit coretan ini (tidak mampu untuk menulis lebih panjang)
percayalah masih ada orang-orang di luar sana yang susah sedang menunggu
bantuan dari kita. Mereka tidak pernah bersuara apatah lagi meminta-minta. Bayangkan
kita masih lagi mampu membeli aiskrim untuk anak-anak, mereka ketika ini
bersekang memasak gandum mengalas perut anak-anak kecil yang masih galak untuk
makan dan bermain. Bantulah mereka tidak kira sessiapa sahaja yang anda
fikirkan perlu kerana apa yang mereka dapat itu sekurang-kurangnya mereka dapat
tidur lena pada malam itu walaupun tidak diulit mimpi indah. Percayalah sedikit
sumbangan itu sangat besar bagi mereka yang memerlukan.
No comments:
Post a Comment